Lembah kuasa, kemewahan Firaun
Januari ini, kami menghadapi musim peperiksaan. Habis musim peperiksaan selama sebulan, kami akan menikmati cuti semester ataupun cuti musim sejuk. Ada antara pelajar Malaysia mengambil kesempatan ini untuk melawati tempat menarik di Mesir selain pulang bercuti di tanah air.
Pada kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman menarik melancong ke Luxor. Ia ibu negara Mesir Purba di bahagian utara terletak di tebing Sungai Nil. Seperti kita maklum, dahulu Mesir dibahagikan kepada bahagian utara dan selatan, diperintah oleh Firaun berbeza. Luxor sangat terkenal dengan zaman pemerintahan Raja-Raja
Firaun yang mencetuskan peradaban Mesir Purba.
Sebuah peradaban yang canggih zaman dahulu.
Tidak sabar rasanya melawat Luxor bagi menyaksikan sendiri tinggalan Firaun yang sangat terkenal ini. Malah, dalam al-Quran banyak menceritakan perihal Firaun. Sesampai di Luxor, tidak boleh digambarkan perasaan saya. Terdapat pelbagai kuil dan istana didirikan Firaun. Firaun berlainan akan mendirikan kubu dan istana mereka sendiri. Kuil ini menjadi tempat penyembahan tuhan mereka waktu dahulu.
Antara tempat sangat menarik untuk saya kongsikan ialah Lembah Raja-Raja atau ‘Valley of the Kings’ yang sangat terkenal.
Lembah Raja-Raja terletak di Theban Hills, barat Sungai Nil berusia hampir 500 tahun. Ia terdiri daripada dua lembah, sebelah timur (kebanyakan makam diraja disemadikan) dan sebelah barat (permaisuri disemadikan). Lembah ini tempat makam Firaun dan golongan bangsawan yang berkuasa zaman Mesir Purba.
Ketika menjejakkan kaki di sini, saya tidak menyangka bukit batu kapur ini dipenuhi kubur. Memang mudah mengenali batu kapur kerana ia mengeluarkan buih udara apabila dititiskan air ke atasnya.
Kubur digali seperti terowong dalam batu kapur tebal dan jarak daripada pintu masuk ke dalamya sekitar 400 meter. Timbul persoalan dalam fikiran saya, bukankan makam Firaun dalam piramid? Bukannya dalam bukit batu?
Rupa-rupanya Firaun purba yang tua menggunakan piramid sebagai tempat persemadian mereka. Tetapi disebabkan dengan mendirikan piramid, orang ramai akan tahu secara mudah tempat harta mereka disimpan. Ini mendorong kecurian di dalam piramid hingga mendorong Firaun era yang lebih muda mencari tempat tersorok yang sukar diketahui tempat persemadian mereka.
Sejak zaman dulu, hampir semua makam dibuka dan dirompak. Firaun disemadi bersama hartanya yang sangat lumayan seperti emas, perak, nilam serta pelbagai barangan mewah. Lantas, bukit batu kapur di Luxor menjadi pilihan mereka. Persemadian di Lembah Raja-Raja tidak terungkai sehingga 2005 apabila penemuan makam Firaun Tutankhamun.
Daripada penemuan penyelidik sejarah, lembah ini mengandungi kira-kira 63 makam yang mudah diterokai dan lebih kurang 120 makam yang agak sukar dimasuki. Makam diraja dihiasi dengan adegan cerita mitos Mesir dan memberi petunjuk hal kepercayaan serta upacara pengebumian pada zaman mereka. Cerita perihal Firaun diukir pada batu kiri kanan terowong ke makam.
Lawatan ke sana, membuka mata saya bagaimana kemewahan dan kuasa Firaun ketika itu. Tidak tergambar pada zaman dahulu punya golongan yang sudah bertamadun dan menyimpan kekayaan sebegitu.
Ketika ini, lembah ini menjadi tumpuan penerokaan arkeologi. Penemuan yang paling popular makam Tutankhamun iaitu Firaun paling muda dan paling kaya. Ia salah satu tapak arkeologi paling terkenal di dunia. Pada 1979, ia menjadi Tapak
Warisan Dunia dan pusat pelancongan yang wajib dilawati di Luxor. Tetapi sayang pengunjung tidak dibenarkan masuk ke makam Tutankhamun kerana kerja pemuliharaan sedang dilakukan.
Sehingga kini, kerja penggalian dan pemuliharaan barangan tinggalan Firaun masih giat dilakukan. Saya dapat lihat beberapa pekerja sedang membersihkan barangan tembikar. Barangan antik ini diberus dan yang pecah dibaiki semula.
Beberapa askar dilihat mengawal ketat tempat ini daripada diceroboh.
Jika ada kesempatan, datanglah ke Luxor dan teroka pelbagai peninggalan di Mesir ini.