Arak campuran air
Kuala Lumpur: Air paip dicampur dengan alkohol untuk mengaut lebih untung. Itu antara taktik kebanyakan pusat hiburan terkenal yang dikesan menjual arak palsu kepada pelanggan.
Kegiatan itu yang dilakukan bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tidak disedari pelanggan yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli sebotol arak.
Penipuan itu bagaimanapun terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu tiga pusat hiburan terkenal di Jalan P Ramlee dan Jalan Doraisamy, di sini, selain merampas ratusan botol minuman keras.
Dalam serbuan jam 5 petang kelmarin, 185 botol minuman keras dirampas hasil risikan bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kuala Lumpur dan aduan awam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, semua minuman keras itu dikesan menggunakan botol dan label produk tulen untuk mengaburi mata pelanggan.
Katanya, arak jenama terkenal itu disahkan tiruan oleh pemilik cap dagang yang sah dan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
“Pengedaran minuman keras yang dipercayai didalangi oleh sindiket itu dikesan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dan pembeli dengan menggunakan label atau pelekat menyerupai botol minuman keras asli.
“Pihak penguat kuasa merampas 185 botol minuman keras pelbagai jenama dijual di dua premis berkenaan yang dipercayai tiruan.
“Antara minuman keras tiruan yang dirampas membabitkan jenama Chivas Regal, Black Label, Jack Daniels, Martel VSOP, Martel Cordon Bleu dan Gold Label,” katanya. Menurutnya, penyebaran minuman keras tiruan ini di pasaran dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna.
Katanya, arak tiruan ini dibimbangi boleh memudarat kesihatan pengguna kerana ramuannya mungkin terdiri daripada pelbagai bahan yang tidak diluluskan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM16,780 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2), Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.