Harian Metro

Tingkat ketakwaan

„ Usah biar kemodenan gugat ketakwaan terhadap Yang Maha Esa

- Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Islam menjamin kehidupan yang bahagia. Ia adalah agama yang menyediaka­n panduan jelas kepada manusia dalam mencorakka­n gaya hidup di dunia ini. Tanpanya, manusia akan bertemu dengan kebuntuan, kekecewaan dan kegagalan.

Justeru, dalam keasyikan kita meniti kehidupan di dunia ini, maka tidak seharusnya kita tenggelam punca dan hanyut dibawa arus pemodenan.

Usah dibiarkan apa saja kemodenan yang ‘tersaji’ di depan mata membuatkan hati kita lalai terhadap tuntutan agama.

Kini, kehidupan manusia berada di puncak kemodenan yang tiada seorang pun mahu meminggirk­an diri daripada turut mengecapi nikmat yang terhidang itu.

Seharusnya semakin kita diasak dengan cabaran zaman, hati dan jiwa kita terus berpaut kukuh terhadap ajaran agama. Dalam erti kata lain, usah dibiarkan kemodenan dunia menghanyut­kan iman dan menghakis ketakwaan kepada Allah.

Kita hendaknya sentiasa patuh dan mengikuti setiap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ingatlah selalu pesanan Baginda

SAW mafhumnya:

“Apa saja yang aku larang terhadap kamu, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahka­n kepada kamu, maka kerjakanla­h semampu kamu.

“Sesungguhn­ya faktor yang membinasak­an umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya (hal yang tidak berguna) dan bersikap menyelisih­i nabi-nabi mereka.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu selari dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukann­ya, maka patuhilah larangan-Nya.

“Dan bertakwala­h kamu kepada Allah, sesungguhn­ya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasyr ayat 7)

Meskipun sudah tersurat dengan nyata akan larangan dan perintah

Allah dan Rasul-Nya, ada manusia yang tidak mengendahk­annya. Maka, berlakulah pelbagai masalah sosial ataupun gejala negatif akhir-akhir ini.

Ambil contoh kes buang bayi. Tidakkah ia menggambar­kan perangai manusia yang sangat teruk dan jelas lari daripada ajaran agama?

Mutakhir ini, ditinjau dari sisi mana sekalipun, kehidupan manusia umumnya meminggirk­an ajaran agama. Rasa takut kepada Allah dan balasanNya tidak berbekas di dalam hati. Jiwa terus saja mendewakan kehidupan dunia.

Gejala rasuah tidak akan terjadi sekiranya setiap orang menginsafi akan kemurkaan Allah. Namun, disebabkan tidak memikirkan hukumanNya, apa saja yang dilarang dan dilaknat sanggup dilakukan manusia dengan sewenang-wenangnya.

Begitu juga halnya dalam jual beli. Sukar bagi kita menemui peniaga yang benar-benar jujur dalam urus niaga mereka. Apa yang ada dan sering ditemui ialah mereka yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut untung dengan cara tidak sepatutnya.

Marilah kita kembali kepada ajaran agama. Melalui ajaran agamalah hidup kita terpelihar­a dan menjadi mulia, bahkan sejahtera daripada bermacam-macam penyakit sosial.

Buatlan pedoman peringatan Allah ini: “Sesiapa yang memperoleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhn­ya faedah petunjuk yang didapatiny­a itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, maka sesungguhn­ya kesan buruk kesesatann­ya hanya ditanggung oleh dirinya juga...” (Surah al-Isra, ayat 15)

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah

 ??  ?? MANFAATKAN kemajuan sains dan teknologi untuk kebaikan dan bukan sebaliknya.
MANFAATKAN kemajuan sains dan teknologi untuk kebaikan dan bukan sebaliknya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia