Harian Metro

Padah tumbuk suspek di pejabat polis

-

Kuala Lumpur: Akibat gagal mengawal perasaan, dua sahabat bertindak melulu apabila menumbuk muka suspek yang disoal siasat polis berhubung kes samun dalam pejabat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, minggu lalu.

Bagaimanap­un, tindakan kedua-duanya, Muhammad Suhail Sudirman, 31, dan Syaidian Jumianto, 30, mendapat balasan apabila mereka masing-masing didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakua­n tidak senonoh.

Mahkamah turut memerintah­kan kedua-duanya yang bekerja sebagai pelayan restoran itu menjalani hukuman penjara 10 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam Pejabat Siasatan Jenayah, IPD Cheras di sini, jam 3.15 petang, 20 Januari lalu.

Pertuduhan itu dikemukaka­n oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dibaca bersama Seksyen 94 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda sehingga RM500.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan penanggung utama keluarga.

Mengikut fakta kes, perasaan marah dua rakan tidak dapat dibendung selepas isteri seorang daripada mereka memaklumka­n lelaki yang melakukan samun terhadapny­a ditahan polis.

Mereka kemudian bertindak agresif dengan meluru masuk ke dalam sebuah bilik ketika satu rakaman percakapan dibuat seorang pegawai polis dan bertindak menumbuk Samiuon Shomidon, 41, di bahagian pipi kiri dan kepala hingga cedera.

Pihak polis menangkap kedua-dua tertuduh untuk tindakan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia