Harian Metro

Sze Fei-Izzuddin perlu banyak belajar

-

Sibu: Selepas bangga melihat anak buahnya cemerlang dalam penampilan sulung pada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas pada Masters Malaysia minggu lalu kini jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit mempunyai satu lagi tugas berat.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu perlu bijak untuk memastikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sentiasa berpijak di bumi nyata dan tidak besar kepala ketika usia mereka baru menjangkau 20 tahun.

Soon Kit sedar Sze Fei-Izzuddin sudah pasti akan menjadi tumpuan peminat kerana tahun lalu juga mereka menunjukka­n peningkata­n apabila muncul juara Siri Antarabang­sa Malaysia dan Terbuka Switzerlan­d. Menurutnya, kedua-dua pemain itu perlu kekal merendah diri dan fokus dalam memburu impian mereka.

“Sebagai jurulatih tugas saya adalah memastikan mereka kekal merendah diri dan berpijak di bumi nyata. Saya perlu membuatkan mereka sedar yang sikap besar kepala tidak akan membawa mereka ke mana dan pasti akan menjejaska­n kerjaya mereka,” katanya.

Beliau yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 mengakui Sze Fei-Izzuddin perlu terus bermotivas­i bagi mengejar impian mereka sama ada untuk beraksi di Kejohanan Dunia atau Olimpik.

“Apa yang mereka capai sekarang baru langkah pertama, perjalanan mereka masih jauh. Mereka perlu bekerja keras, sentiasa belajar dan memperbaik­i kelemahan.

“Saya mahu mereka sedar, jika mereka mahu tunjuk besar kepala atau tidak beri komitmen, bila-bila masa saja mereka boleh digantikan. Situasi ini akan menjadikan mereka bersaing secara sihat,” kata Soon Kit.

 ??  ?? IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei raih naib juara GP Emas.
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei raih naib juara GP Emas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia