Harian Metro

Cabaran getir Harimau Malaysia

-

Kuala Lumpur: Ia bukan undian yang diharapkan oleh pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee apabila menyaksika­n anak buahnya berdepan cabaran getir pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong dalam Kumpulan B.

Dengan kedudukan ranking FIFA ke-161, Malaysia yang diletakkan dalam balang empat pada majlis undian di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam sememangny­a sukar untuk mengelak daripada bertemu pasukan di ranking lebih tinggi iaitu Korea Utara (125), Hong Kong (140) dan Lubnan (148).

Persiapan lebih rapi perlu diatur Kim Swee untuk membentuk pasukan bagi mengharung­i kempen ini memandangk­an hanya juara dan naib juara daripada enam kumpulan layak ke pusingan akhir di UAE bersama 12 lagi pasukan yang sudah menempah tiket lebih awal.

Pasukan yang sudah menanti di pusingan akhir adalah tuan rumah UAE, Qatar, Korea Selatan, Jepun, Thailand, Arab Saudi, Australia, Uzbekistan, Syria, Iraq, Iran dan China.

Kim Swee sudah mengatur aksi persahabat­an antarabang­sa dengan Bahrain di Manama pada 22 Mac ini sebagai persediaan berdepan pasukan pilihan Korea Utara di gelanggang lawan dalam aksi pertama Kumpulan B pada 28 Mac.

Pertemuan dengan Bahrain itu adalah ujian pertama Harimau Malaysia tahun ini selepas mereka tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF di Yangon, Myanmar November lalu.

Skuad negara layak beraksi di pusingan ketiga kelayakan selepas mengalahka­n Timor Leste menerusi agregat 6-0 dalam perlawanan play-off di Larkin pada Jun tahun lalu.

 ??  ?? KIM Swee (dua kiri) perlu sediakan pasukan dengan lebih rapi.
KIM Swee (dua kiri) perlu sediakan pasukan dengan lebih rapi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia