Harian Metro

BISIK-BISIK MAIN HARGA

- Syazwan Msar dan Asrizal Aris am@hmetro.com.my

„ Peniaga pasar borong jual hidupan laut segar lebih murah sebelum jam 8 pagi

Seri Kembangan

“Abang punya pasal, sotong kasi RM9 sekilo,” bisik seorang peniaga remaja kepada penulis ketika membuat tinjauan kira-kira jam 6.45 pagi di pasar basah Kompleks Pasar Borong Selangor, di sini, semalam.

Tetapi yang menghairan­kan, apabila penulis datang semula ke gerai berkenaan pada jam 8.05 pagi, sotong segar yang ditawarkan tadi sudah ditetapkan dengan harga RM13 sekilogram dan tidak boleh ditawar.

Apabila dipersoalk­an, peniaga remaja dipercayai warga Myanmar yang ‘membisik’ harga tawaran sebelum ini mendakwa sotong diberi harga murah itu sudah habis dijual.

Lebih menarik, antara jam 8 hingga 8.10 pagi, hampir keseluruha­n gerai yang pada mulanya tidak mempamerka­n tanda harga sudah sibuk menulis harga pada label, malah ada juga yang menulis pada kertas dan kepingan polisterin.

Tinjauan semula ke gerai lain mendapati, harga rendah yang ditawarkan sebelum jam 8 pagi sudah tidak lagi boleh didapati, malah ada peniaga yang memarahi penulis kerana tidak membeli awal apabila sudah diberi tawaran harga rendah.

Bagaikan berada di pasar basah yang lain. Itu yang dirasai oleh penulis apabila mendapati peniaga yang sejam sebelum tadi memberi layanan mesra sudah bertukar menjadi garang dan sibuk dengan kerja mereka.

Niat asal penulis untuk membeli sotong (RM9 sekilogram) dan udang putih (RM23 sekilogram) tidak kesampaian apabila harga itu sudah tidak lagi boleh didapati.

Pengunjung, Rodiah Ahmad Romi, 50, berkata, tidak dinafikan membeli keperluan dapur di Pasar Borong Selangor sangat memuaskan hati, namun tidak pernah menyedari bahawa harga ketika ‘hari gelap’ adalah lebih murah.

“Di sini harga lebih murah berbanding pasar raya dan baranganny­a pun segar. Kita perlu pandai menawar untuk mendapatka­n harga yang lebih murah.

“Tetapi saya tidak pula tahu bahawa harga barang basah pada awal pagi lebih murah kerana saya kerap datang ke pasar sekitar jam 7.30 hingga 9 pagi,” katanya ketika ditemui di pasar itu, semalam.

Menurutnya, kebanyakan penduduk sekitar itu akan datang ke pasar borong terbabit pada jam 8 pagi ke atas iaitu selepas menyelesai­kan urusan menghantar anak ke sekolah dan menerima lebih ramai pengunjung ketika di hujung minggu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia