Harian Metro

Tidak hirau barang antik demi suami lumpuh

-

Kota Tinggi: “Koleksi barangan antik berharga RM10,000 itu kecil nilainya berbanding nyawa suami yang juga pesakit angin ahmar,” kata penduduk Taman Aman, Zaleha Alias, 65, semalam.

Zaleha antara mangsa banjir yang ditempatka­n di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kota Kechil, di sini, berkata, suaminya, Othman Awang Tek, 66, diserang angin ahmar sejak 16 tahun lalu dan dibawa ke pusat berkenaan jam 3 pagi, kelmarin, menggunaka­n kenderaan pacuan empat roda.

“Detik cemas ketika itu memang sukar digambarka­n kerana air naik sekelip mata berikutan hujan lebat berterusan.

“Perkara paling membimbang­kan kami ketika itu bagaimana mahu menyelamat­kan suami yang hanya mampu bergerak dengan kerusi roda.

“Alhamdulil­lah, ada jiran membantu selain kenderaan pacuan empat roda datang ke rumah menyelamat­kan kami,” katanya.

Zaleha berkata, selain kerosakan barangan antik yang dikumpul sejak 30 tahun lalu, keluargany­a kerugian RM7,000 apabila pelbagai barangan termasuk mesin basuh, peti sejuk dan beberapa perabot musnah.

“Saya harap agensi berkaitan menawarkan bantuan sesuai kepada mangsa banjir bagi meringanka­n beban masing-masing.

“Banjir sudah surut namun kami masih menunggu kebenaran pulang ke rumah.

“Saya tinjau keadaan rumah pagi tadi (semalam) dan mendapati ada kesan lumpur tebal dan kami perlu membersihk­annya dahulu sebelum pulang,” katanya.

Sementara itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mencemar duli melawat mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kota Kechil diiringi isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam serta Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Arif.

Baginda yang tiba pada jam 12.15 tengah hari meluangkan masa setengah jam bersama mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan.

 ??  ?? RAJA Zarith Sofiah meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kota Kechil, Kota Tinggi, semalam.
RAJA Zarith Sofiah meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kota Kechil, Kota Tinggi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia