Harian Metro

Buntu cari RM60,000

- Nur Lela Zulkipli nurlela@hmetro.com.my

„ Anak sulung berusia 2 tahun derita Aplastik anemis perlukan penderma sum-sum tulang

Pasangan suami isteri kini buntu apabila gagal mendapatka­n wang tunai RM60,000 untuk rawatan anak sulung mereka, Nursyifa Zara Ibrahimi berusia dua tahun yang disahkan menghidap Aplastik Anemia iaitu kegagalan sum-sum tulang berfungsi sejak dikesan bulan lalu.

Lebih malang apabila ibunya, Saneehah Sulaiman kini sarat mengandung perlu mencari wang lain bagi membayar kos perubatan anaknya itu yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

Saneehah sebelum ini yang berniaga kecil-kecilan menerusi atas talian terpaksa berhenti kerja kerana mengalami alahan mengandung yang teruk, sementara suaminya, Mohamad Zamri Khalid yang bekerja sebagai juruteknik di kilang perlu memikirkan cara lain untuk mendapatka­n wang tambahan.

Beliau berkata, anaknya itu yang aktif dan ceria berubah 180 darjah pada Disember tahun lalu apabila di dalam mulutnya mula timbul ulser disertai demam panas pada waktu malam.

“Saya fikir Zara hanya sakit biasa dan boleh diubati dengan ubat klinik, namun sangkaan saya meleset apabila doktor mengesyaki Zara menghidap leukemia peringkat awal berdasarka­n ujian darah yang dijalankan.

“Kes Zara kemudian dirujuk kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan dan pemeriksaa­n lanjut. Ketika itu, keadaan Zara sudah berubah menjadi pucat seperti tiada darah langsung.

“Saya sangat takut jika kehilangan Zara pada ketika itu sehingga sanggup jika Allah SWT menukar nyawa dengan kandungan di dalam perut ini. Tetapi janganlah Allah SWT ambil nyawa Zara yang saya sayang lebih daripada segalanya atas dunia ini,” katanya.

Saneehah berkata, keadaan menjadi lebih parah apabila penyakit lain pula menyerang Zara iaitu kegagalan kilang darah berfungsi dan keadaan ini boleh mengakibat­kan kanser tulang pula jika lambat atau gagal diubati.

“Doktor menerangka­n jika ada penderma sum-sum tulang dan wang yang cukup, mereka boleh jalankan pembedahan segera. Namun, kos rawatan bulanan Zara pun sudah banyak yang tertunggak, inikan pula untuk mengumpulk­an RM60,000,” katanya.

Keadaan Zara kini sangat lemah dan tubuhnya mudah lebam sekiranya dipegang kerana mempunyai bacaan platlet yang sangat rendah.

“Saya sendiri perlu menahan diri untuk memegang Zara kerana badannya akan lebam dengan begitu cepat. Seluruh tubuh Zara juga terkena alahan yang teruk selepas menjalani rawatan kimoterapi.

“Sekali lagi kami diuji apabila badan dan muka Zara ditumbuhi ruam yang sangat teruk seperti terbakar sehingga kehitaman selepas menjalani kimoterapi. Allah SWT saja yang mengerti perasaan saya apabila terpaksa melihat keadaan Zara seperti itu,” katanya.

Katanya, doktor sebelum ini memberikan masa sehingga setahun kepada Zara untuk hidup kerana sekiranya tidak meneruskan rawatan yang dicadangka­n.

Orang ramai ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 1622728845­55 (Mohamad Zamri Khalid).

 ??  ?? NURSYIFA Zara memerlukan bantuan kewangan untuk mengubati penyakitny­a.
NURSYIFA Zara memerlukan bantuan kewangan untuk mengubati penyakitny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia