Harian Metro

Rela tak beraya demi kejohanan

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga tahun ini bukan masalah besar buat pemain badminton beregu campuran negara, Shevon Lai Jemie apabila dia dan pasanganny­a, Goh Soon Huat bermula cemerlang di Kejohanan Antarabang­sa Syed Modi di Lucknow, India semalam.

Soon Huat-Shevon yang baru saja segar dengan pencapaian muncul naib juara Masters Malaysia minggu lalu tidak berdepan masalah menumpaska­n Dinesh Chaudhry-Lalita Dahiya 21-6, 21-8 di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das.

“Saya masih teruja untuk meneruskan perjuangan di sini walaupun ini kali pertama saya tidak dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menurut penuntut Universiti Malaya (UM) itu, apa yang paling penting buatnya dan Soon Huat adalah perlu mengejar kedudukan ranking dunia.

“Jadi, semua kejohanan memang sangat penting buat kami. Saya dan Soon Huat hanya perlu bersedia tidak kira siapa yang menjadi lawan kami di sini,” katanya yang berusia 24 tahun.

Mereka yang diletakkan pilihan keenam sekarang menduduki ranking ke-92 dunia dan pasangan ketiga di belakang Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

“Perlawanan hari ini (semalam) tidak banyak memberi kesan kepada kami. Saya menganggap ia hanya aksi pemanas badan kerana lawan tidak berapa kuat,” katanya.

Sementara itu, Tan Boon Heong yang berganding­an dengan Hendra Setiawan dari Indonesia turut cemerlang dalam penampilan sulung mereka sebagai rakan segandinga­n apabila menumpaska­n Munawar Mohammed-Vishnura Rajendran dari India 21-11, 21-9.

Mereka akan berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Francis Alwin-Kona Tarun di pusingan kedua hari ini.

Turut mara, pasangan profesiona­l, Arif Latif-Lim Khim Wah yang mengalahka­n Utkarsh Arora-Gaurav Deswal 21-16, 21-13 dan bakal berentap dengan pilihan ketiga dari India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia