Harian Metro

TMJ, Khairy tak sesuai: Velappan

-

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangny­a dianggap antara calon paling layak untuk menyelesai­kan masalah kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun bekas Setiausaha Agung Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan beranggapa­n kedua-duanya tidak harus bertanding jawatan itu yang kosong selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memutuskan untuk mengundur diri.

Baginya jawatan tertinggi dalam pentadbira­n bola sepak itu harus dipegang individu yang mempunyai minat tinggi untuk sukan berkenaan selain mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sukan.

“Kita harus kembalikan bola sepak kepada yang sepatutnya iaitu rakyat. Tiada ahli politik, tiada menteri atau kerabat diraja harus menandingi­nya. Ada ramai yang mempunyai minat tinggi dengan bola sepak,” katanya.

Setiausaha Agung AFC ketika ini, Datuk Windsor Paul John pula berpendapa­t Khairy boleh bertanding selagi statut FAM membenarka­n Anggota Parlimen Rembau itu berbuat demikian.

“Dalam kes ini, FAM wajar merujuk kembali statut mereka sama ada membenarka­n ahli politik untuk bertanding dalam sebarang jawatan. Seperti saya katakan, pencalonan Khairy masih bergantung kepada Sekretaria­t FAM yang belum memutuskan senarai akhir calon,” katanya.

Beliau juga menegaskan Khairy perlu mendapat kebenaran Kabinet sebelum bertanding jawatan itu selaras dengan peraturan kerajaan.

Sebelum ini, Kabinet melarang semua anggotanya bertanding dalam sebarang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan, kecuali mendapat kebenaran Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia