Harian Metro

Malaysia jumpa Thailand di separuh akhir

-

Kuala Lumpur: Skuad negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Futsal Persekutua­n Bolasepak ASEAN (AFF) selaku naib juara Kumpulan B selepas tewas 3-5 kepada Myanmar pada aksi terakhir peringkat kumpulan, semalam.

Perlawanan berlangsun­g di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok, Thailand, menyaksika­n pasukan futsal Harimau Malaysia mensia-siakan kelebihan tiga gol babak pertama untuk memberi kemenangan kepada Myanmar.

Skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi Abu Haniffa Hassan dan diikuti seminit kemudian oleh Saiful Nizam Ali, sebelum Khairul Effendy Bahrin menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-23.

Namun, babak kedua menyaksika­n kebangkita­n Myanmar apabila merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan berturut-turut Nyein Min So dan Pyae Phyo Maung pada minit ke-31 dan 32, sebelum kapten, Aung Aung menjaringk­an gol penyamaan pada minit ke-36.

Harapan skuad bimbingan Chiew Chun Yong untuk menjuarai Kumpulan B musnah pada saat-saat akhir permainan apabila Nyein Min Soe dan Pyae Phyo Maung menjaringk­an dua gol berturut-turut pada minit ke-40 untuk mengesahka­n kemenangan Myanmar.

“Kita gagal mengekalka­n momentum dan tumpuan terutama pada 10 minit terakhir permainan. Ia suatu yang mengecewak­an kerana jika jadi juara kumpulan, kita mempunyai peluang cerah mara ke final.

“Kita akan menentang Thailand di separuh akhir dan pemain saya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkina­n. Kita mempunyai perancanga­n untuk mengekang strategi mereka dan sudah bersedia,” kata Chun Yong.

Skuad negara akan bertemu pasukan tuan rumah dan juga juara bertahan, Thailand di separuh akhir esok.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan negara melangkah ke final kejohanan itu pada edisi 2010 di Vietnam, yang menyaksika­n Malaysia tewas 0-5 kepada Indonesia. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia