Harian Metro

Ubah wang haram RM1.57j

- Iskandar Shah Mohamed dan Nor Azura Abdul Jalil am@hmetro.com.my

„ Bekas CEO TH Heavy Engineerin­g nafi 3 pertuduhan

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Heavy Engineerin­g Bhd (THHE), syarikat bersekutu Tabung Haji mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini, semalam atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.57 juta, empat tahun lalu.

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, memohon dibicaraka­n selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Asmadi Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku CEO syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas itu didakwa membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd Murhasmee Mukhtar yang juga hasil satu aktiviti haram.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Oasis Square, Petaling Jaya, antara 2 Mei hingga 11 September 2013.

Nor Badli Munawir didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntu­kkan penjara maksimum lima tahun atau denda tidak lebih RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail yang mengendali­kan kes mencadangk­an tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan.

Namun, peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangka­n kerana anak guamnya yang mempunyai enam anak tidak akan melarikan diri dan memberikan kerjasama dalam kes berkenaan.

“Selain itu, pihak pembelaan juga menawarkan bon dua penjamin terdiri daripada warganegar­a Malaysia,” katanya.

Asmadi kemudian membenarka­n Nor Badli Munawir dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dan penjamin mengikut Seksyen 387 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Sebutan semula kes ditetapkan untuk perbicaraa­n bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac ini.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Nor Badli Munawir dituduh atas dua pertuduhan membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta, empat tahun lalu.

Nor Badli Munawir mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai RM430,000 daripada Pengarah Syarikat Coral Intoil Mohd Razip Mohammad iaitu hasil daripada suatu aktiviti haram di THHE Fabricator­s Sdn Bhd, B-23-1, Tower B, Menara UOA Bangsar, di sini, antara jam 2 petang hingga jam 4 petang, 27 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima wang tunai RM570,000 daripada Pengarah Syarikat RL Offshore Sdn Bhd di Restoran Leaf Dining, No 5-1, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, antara jam 3 petang hingga jam 4 petang, 1 November 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntu­kkan denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Chetan Jethwani dan Kitson Foong.

Terdahulu, Mohd Asnawi menawarkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Bagaimanap­un, Chetan memohon jumlah jaminan dikurangka­n atas alasan ia terlalu tinggi.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

 ??  ?? NOR Badli Munawir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.
NOR Badli Munawir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia