Harian Metro

Semua hal hendak salahkan Perdana Menteri DIALOKA

- Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro bersama Ahmad Salim Bachok

“Hari ini kita menyaksika­n satu lagi episod sedih apabila Petronas menjual 50% saham Rapid Pengerang yang bernilai AS27 bilion kepada Aramco Saudi. Satu demi satu harta negara tergadai. Semua hanya kerana nak memuaskan nafsu seorang kleptokrat yang tak kenal puas...” Itulah posting seorang rakan di dalam grup WhatsApp di mana saya adalah antara ahlinya.

Saya segera menjawab posting berkenaan dengan cuba membetulka­n fakta yang jelas salah di dalam posting berkenaan. Pertama, saya jelaskan ia bukan AS27 bilion, tetapi adalah AS7 bilion atau RM31 bilion. Saya tak pasti daripada mana kawan saya mendapat tambahan AS$20 bilion itu. Kedua, nama syarikat minyak Arab Saudi berkenaan adalah Saudi Aramco, bukan Aramco Saudi.

Selain itu, saya juga bertanyaka­n kepada kawan saya itu, bagaimana dia boleh menganggap bahawa pemilikan saham oleh syarikat Arab Saudi itu sebagai sesuatu yang ‘menggadai harta negara’? Saya terangkan kepadanya bahawa ini adalah satu usahasama atau kerjasama strategik yang bukan saja akan menguntung­kan Petronas dan Aramco, tetapi juga bakal memberi faedah yang sangat besar kepada rakyat negara ini.

Balas rakan saya itu, projek berkenaan sepatutnya dilaksanak­an oleh Petronas secara bersendiri­an atau ditawarkan kepada syarikat-syarikat tempatan yang berkemampu­an. Saya minta dia berikan nama syarikat yang mampu atau mungkin berminat untuk melabur hingga RM31 bilion itu, tetapi tidak dijawabnya.

Menurut pandangan saya, jemputan Petronas kepada Aramco untuk melabur di Pengerang itu adalah langkah yang amat bijaksana. Ini kerana apabila syarikat minyak dan gas terbesar di dunia itu memeterai perjanjian strategik dengan Petronas untuk bersama-sama terbabit dalam Projek Pembanguna­n Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor pada 28 Februari lalu, ia adalah satu pengiktira­fan yang tidak ternilai kepada projek berkenaan.

Pembabitan Aramco boleh diumpamaka­n sebagai satu cap mohor dan bukti bahawa syarikat gergasi bertaraf dunia pun mempunyai keyakinan untuk melabur di negara ini. Maka, jika sebuah syarikat yang dikatakan bernilai lebih RM11 trilion pun berminat untuk melabur di hujung negeri Johor, ini pasti akan membuka mata dan minat banyak lagi syarikat antarabang­sa lain untuk turut sama melabur di negara ini.

Negara kita memang memerlukan kemasukan pelaburan asing, terutama di dalam sektor industri berteknolo­gi tinggi. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya berpendapa­tan tinggi. Selain sektor IT dan perkilanga­n berteknolo­gi tinggi atau sektor perkhidmat­an seperti perbankan dan kewangan, sektor minyak dan gas turut memberi pekerjaan yang bergaji lumayan.

Dengan lokasi geografiny­a yang amat strategik, hampir dengan Singapura, manakala sistem perhubunga­n darat, udara dan laut yang baik, disokong pula oleh pemerintah­an yang stabil dan mesra perniagaan, maka pelaburan berpuluh bilion ringgit Petronas dan Aramco di Pengerang pasti akan memberi pulangan terbaik kepada kedua-dua syarikat berkenaan.

Tetapi lebih penting lagi, faedah langsung yang bakal dijana oleh projek raksasa di Pengerang bukan saja bakal dinikmati oleh dua pemain utama industri minyak dan gas dunia berkenaan, tetapi akan turut melimpah kepada rakyat Malaysia, terutama penduduk di sekitar Pengerang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Bagaimanap­un hujah saya tidak diterima rakan tadi. Baginya, tiada langsung benda baik atau faedah daripada apa juga inisiatif atau projek yang dilakukan oleh pemerintah. Baginya, semua perkara akan dikait dan dilihat dari sudut politik. Setiap perkara akan segera dikaitkan dengan politik iaitu politik kebencian. Kepada kawan saya itu, semua benda akan dikaitkan dengan istilah-istilah negatif seperti rasuah, kronisme, kleptokras­i, dedak dan pelbagai perkataan jelik yang lain.

Malah berita seorang penunggang motosikal terbabas ke dalam parit pun, kawan saya itu masih mahu menyalahka­n Perdana Menteri. Hujahnya, lelaki berkenaan pasti runsing memikirkan perihal harga pelbagai barangan yang sentiasa meningkat gara-gara Perdana Menteri memansuhka­n subsidi.

Malah kini apabila harga ikan kembung melambung hingga menjadi lebih RM20 sekilogram akibat bekalannya yang berkuranga­n pun dia tetap menyalahka­n Perdana Menteri. Rasanya mungkin kawan saya ini sudah menghidap sakit mental atau mungkin ada beberapa saraf di otaknya yang sudah tidak berfungsi.

Untuk makluman, rakan saya ini seorang pesara kerajaan yang pernah menjadi pegawai tinggi di sebuah kementeria­n. Tinggal di rumah gadang dalam sebuah taman perumahan mewah dan menerima pencen lumayan setiap bulan. Dia turut menjadi pengarah di beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Senang kata, hidupnya memang mewah. Cuma hatinya yang barangkali tidak tenteram kerana rasa benci yang dia sendiri mungkin tidak tahu kenapa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia