Harian Metro

Korban cemburu

- Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my

Cemburu kerana suami melayan pembantu rumah dengan baik dikatakan menjadi punca seorang wanita yang ditahan, Ahad lalu, mendera amahnya itu hingga meninggal dunia.

Difahamkan, suspek yang berusia 42 tahun berang kerana suaminya kerap memberi makanan kepada amah terbabit kerana kasihan melihat dia penat bekerja dan sering diherdik.

Menurut sumber, perbuatan lelaki berkenaan diketahui isterinya dan wanita itu yang berang turut memukul suaminya. Hasil pemeriksaa­n mendapati ada kesan parut di belakang badan lelaki terbabit.

“Setiap kali tahu suaminya memberi makanan kepada mangsa, wanita terbabit akan memukul suaminya kerana tidak berpuas hati dengan layanan diberikan kepada pembantu rumah mereka.

“Malah, hasil keterangan awal, suaminya turut mengaku dia akan dipukul isteri sekiranya memberikan makanan kepada mangsa dan lelaki berkenaan mendakwa dia tidak tahan melihat pembantu rumah mereka diperlakuk­an dengan kejam oleh isterinya,” katanya.

Sumber berkata, selain mangsa, seorang lagi pembantu rumah iaitu wanita warga Kemboja turut bekerja di situ dan dia dikatakan mengetahui banyak rahsia di rumah itu.

“Pembantu rumah warga Kemboja itu cuba disembunyi­kan suami isteri berkenaan kerana bimbang rahsia mereka bocor namun hasil siasatan lanjut, polis menjejaki wanita terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalath­rash Wahid berkata, polis menahan pembantu rumah warga Kemboja berusia 22 tahun berkenaan di sebuah flat di Jelutong, malam kelmarin.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita itu turut bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan suami isteri berkenaan dan dia kini direman selama 14 hari kerana tidak memiliki pasport.

“Kami mengambil keterangan­nya bagi mengetahui punca sebenar kejadian hingga menyebabka­n mangsa meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam Sabtu lalu, seorang amah warga Indonesia dikenali sebagai Jubaedah, 38, didakwa tergelinci­r dari tangga dan mati jam 12 tengah hari keesokanny­a ketika berehat dalam bilik tidur rumah majikannya di Jelutong.

Kematian mangsa pada mulanya diklasifik­asikan sebagai mati mengejut namun hasil bedah siasat mendapati wanita terbabit didera dan susulan itu, polis menahan suami isteri yang juga majikannya.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari sejak Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia