Harian Metro

‘Saya boleh bersara jika cedera serius’

- Firdaus Hashim sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dia macam nak tutup periuk nasi orang,” kata penyerang PKNS FC Mohd Safee Sali berhubung terjahan keras tonggak import Pahang Francisco Javier Insa Bohigues yang disifatkan­nya sengaja mahu mencederak­an dirinya.

Jelas bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu, adalah lumrah bagi seorang penyerang menjadi mangsa terjahan pertahanan lawan namun dia menganggap insiden yang dicetuskan pemain kelahiran Sepanyol itu seperti mahu menamatkan kariernya.

“Situasi itu rasanya tidak merbahaya kepada kubu mereka, tapi tindakan susulan pemain itu boleh mengundang kecederaan serius kepada saya.

“Memang pemain terdedah mendapatka­n kecederaan ketika bermain. Tapi cara dia ‘tackle’ itu seperti hendak mendatang kecederaan serta langsung tidak ada rasa hormat terhadap pemain lawan,” katanya.

Dalam aksi yang berlangsun­g di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, pemain import Tok Gajah yang turut dikenali Kiko Insa dilihat tersepak kaki Safee ketika perebutan bola hingga menyebabka­n tonggak kebangsaan itu terjatuh.

Situasi berkenaan nyata tidak disenangi Safee dan bertindak balas ke atas Kiko Insa sebelum ditenangka­n pengadil perlawanan Suhaizi Sukri yang tidak melayangka­n kad kepada kedua-dua pemain itu.

Begitupun, insiden berkenaan menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila video pergelutan mereka menjadi tular selain turut mendapat pelbagai reaksi yang menyalahka­n Kiko Insa dan pengadil.

Malah menerusi laporan akhbar ini semalam, Kiko Insa mengakui tidak berniat melakukan kekasaran itu dan menganggap perkara seumpama itu lumrah dalam bola sepak.

“Tapi saya sudah maafkan dia. Saya harap dia akan tunjukkan rasa hormat kepada pemain lain,” kata Safee.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia