Pantau tumbesaran secara berkala
Sepang: Anak pokok bakau yang ditanam di sepanjang muara Sungai Sepang Besar, Sungai Sepang Kecil serta pantai Bagan Lalang di sini, turut dipantau proses tumbesarannya secara berkala.
Usaha berkenaan dilaksanakan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam mengenal pasti anak pokok bakau yang ‘menjadi’ serta mampu bertahan untuk hidup subur di kawasan itu.
Pegawai Program MNS, M Sashikala berkata, setiap kali penganjuran program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan, pihaknya akan melakukan pemantauan anak pokok bakau berkenaan.
“Selepas penganjuran aktiviti penanaman anak pokok bakau, kita akan memeriksa tumbuhan itu pada setiap bulan untuk mengenal pasti ia boleh bertahan atau tidak di kawasan berkenaan.
“Tidak semua anak pokok bakau ditanam itu terus ‘menjadi’ dan hal ini turut berkait dengan pelbagai faktor termasuk cuaca dan kawasan yang ditanam,” katanya.
Sashikala berkata, antara faktor yang menyebabkan anak pokok bakau itu tidak dapat hidup subur ialah keadaan pasir serta arus air terutama di kawasan pantai.
“Faktor lain seperti air pasang membawa pelbagai kayu dan menghempap anak pokok bakau turut menyebabkan kesukaran tumbuhan itu untuk terus bertahan.
“Turut diambil kira juga faktor cahaya matahari serta cara penanaman anak pokok bakau yang menentukannya untuk terus hidup atau sebaliknya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bukan saja hal berkaitan pokok bakau, pihak MNS turut menjalankan kajian dan mengumpul data mengenai hidupan burung yang menjadikan muara sungai di sini sebagai habitat selain tempat persinggahan.
“Pokok bakau boleh didapati di sekitar muara Sungai Sepang Besar dan Sungai Sepang Kecil antaranya api-api, perepat, bakau minyak, kurap, lenggadai, tengar serta nyireh bunga.
“Untuk burung, antara yang mudah didapati ialah beberek ekor biru, murai, belatuk, layang-layang hijrah dan layang-layang pasifik, pelbagai spesies helang serta bangau,” katanya.
Ditanya mengenai usaha dijalankan pihak MNS di daerah ini, beliau berkata, NGO berkenaan yang beroperasi di Pusat Interpretasi Alam Sekitar (EIC) dimiliki Sepang Goldcoast giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dalam aktiviti memelihara alam sekitar serta flora dan fauna.
“Pelbagai aktiviti dijalankan di pusat ini sama ada terdiri daripada murid dan pelajar selain penuntut institusi pengajian tinggi serta badan korporat dalam menjayakan program CSR penanaman anak pokok bakau.
“Malah, kita juga pernah mengadakan aktiviti hanya membabitkan satu keluarga iaitu permintaan daripada mereka mengenai aktiviti berkaitan memelihara alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, Sashikala berkata, NGO berkenaan yang ditubuhkan pada 1940-an sudah memulakan operasi di daerah Sepang sejak 2009. “Pelbagai pihak terbabit dengan aktiviti dan program diadakan berkaitan penanaman anak pokok bakau dan diharap aktiviti ini akan terus mendapat sokongan daripada semua masyarakat,” katanya.
Pelbagai pihak terbabit dengan aktiviti dan program diadakan berkaitan penanaman anak pokok bakau
Sashikala