Harian Metro

10 tahun jadi hamba along

-

Kuala Lumpur: Sepuluh tahun menjadi hamba hutang along. Itu yang terjadi terhadap seorang wanita apabila terpaksa membayar RM150,000 merangkumi wang pinjaman dan faedah kepada along selepas membuat pinjaman untuk perniagaan kedai makannya.

Wanita dikenali sebagai Faridah, 40, itu berkata, hidupnya kini tidak ubah seperti ‘hamba’ apabila segala keuntungan terpaksa diberikan kepada along bagi menjelaska­n pinjaman yang dibuat sebelum ini hanya RM20,000.

Menceritak­an detik malang itu, Faridah yang juga ibu tunggal cuba membuat pinjaman dengan institusi kewangan, namun tidak berjaya berikutan tidak memiliki dokumen mencukupi.

“Saya bagaikan menagih simpati apabila terpaksa pergi ke setiap bank untuk membuat pinjaman perniagaan bagi membuka kedai makan di Kajang, Selangor, namun semuanya ditolak.

“Fikiran saya buntu kerana niat saya untuk membuka kedai makan untuk menyara kehidupan selepas berpisah dengan suami.

“Cuma wang modal saja tidak mencukupi untuk membeli beberapa barangan,” katanya, di sini.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia terpaksa meminjam daripada along walaupun menyedari akan berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk diugut.

“Itu saja pilihan untuk mendapat wang dengan cepat dan ketika itu saya meminjam RM20,000 dan perlu menyelesai­kan dalam tempoh dua tahun dengan bayaran RM3,000 sebulan.

“Peringkat awal, bayaran bulanan tiada masalah namun perniagaan saya mengalami masalah dan terpaksa menangguh bayaran untuk tempoh beberapa bulan,” katanya.

Tindakanny­a itu memakan diri apabila jumlah pinjaman meningkat setiap bulan dan akhirnya mencecah RM150,000.

“Wakil along setiap bulan datang meminta bayaran dan mereka memberi amaran akan merosakkan perniagaan atau mencari di rumah jika gagal menyelesai­kannya.

“Sekarang ini, saya terpaksa bertungkus lumus menyelesai­kan pinjaman terbabit dan jika gagal jumlahnya akan terus meningkat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia