Harian Metro

Ada sinar buat Harimau Kumbang

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengendali Pulau Pinang Ashley Westwood tetap percaya anak buahnya akan terus bangkit meskipun masih gagal meraih kemenangan pertama musim ini selepas hanya seri 1-1 dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam dalam aksi Liga Super semalam.

Ia mata kedua Pulau Pinang dalam lapan perlawanan selepas mereka menamatkan rentetan enam kekalahan berturut-turut dengan mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka United di laman sendiri Rabu lalu.

Bagi Westwood, satu mata dikutip di tempat lawan tetap sesuatu yang baik meskipun mereka mensasarka­n untuk menamatkan badi tanpa kemenangan musim ini.

“Beraksi di gelanggang lawan menentang pasukan baik seperti PKNS dan mendapat satu mata, adalah keputusan yang baik. Tapi sudah pasti kami kecewa kerana mahukan kemenangan dalam perlawanan hari ini (semalam).

“Tapi kami kena terus berusaha, lebih semangat dan yakin untuk mendapat kemenangan dalam perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Pulau Pinang bangkit mencuri satu mata apabila penyerang import Nigel Dabinyaba menjaringk­an gol pada minit ke-52 untuk memadam jaringan pemain tuan rumah Patrick Ronaldinho di minit ke-28.

Skuad Harimau Kumbang banyak mencipta peluang namun mereka seharusnya berterima kasih selepas pemain import PKNS FC Mathias Jadue yang gagal menyempurn­akan sepakan penalti di minit ke-11 manakala jaringan Ronaldinho pada minit ke-81 tidak disahkan pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria. Keputusan seri menyebabka­n Pulau Pinang terus kekal di dasar liga manakala bagi pengendali PKNS FC E Elavarasan menganggap anak buahnya mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan.

“Kami gagal menyempurn­akan sepakan penalti tapi nasib baik Ronaldinho berjaya menghasilk­an gol. Kami bermain dengan tersusun pada separuh masa pertama namun lebih banyak bertahan pada babak kedua.

“Saya tidak tahu kenapa gol terakhir kami tidak disahkan pengadil. Apa yang saya lihat penjaga gol mereka (Syed Adney Syed Hussein) terlepas bola dan Ronaldinho menolak masuk,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia