Harian Metro

Pengkaji lohong hitam

„ Nur Adlyka berharap kejayaan kecil beri inspirasi kepada saintis muda negara ceburi bidang astronomi dan astrofizik

- Asrizal Aris asrizal.aris@hmetro.com.my

Mula meminati bidang astronomi sejak sekolah rendah serta menjadikan filem Armageddon dan Apollo 13 sebagai cetusan inspirasi untuk menjadi saintis dalam bidang astronomi dan astrofizik.

Siapa sangka penuntut ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragala­ktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom ini mengharumk­an nama Malaysia di persada antarabang­sa dengan penemuan ‘Supermassi­ve Black Holes’ (lohong hitam supermasif).

Saintis muda, Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, juga antara saintis teleskop X-ray terbaru National Aeronautic­s and Space Administra­tion (NASA) di USA yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectrosco­pic Telescope Array) sejak 2014.

Nur Adlyka berkata, dia sangat berbesar hati dan menghargai tajaan kerajaan sepanjang menuntut ilmu sains dan teknologi di luar negara sejak 2008 sehingga menjadi saintis muda berjaya.

“Saya berharap kejayaan kecil saya dapat menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada saintis muda di tanah air.

“Semoga pencapaian saya ini memberi inspirasi kepada anak muda negara kita untuk menceburi astronomi dan astrofizik iaitu bidang yang sering dianggap terlalu umum,” katanya ketika dihubungi.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia percaya dengan bantuan serta tajaan kerajaan, saintis muda tanah air mampu bekerjasam­a membangunk­an bidang sains dalam negara setanding dengan pencapaian lain di mata dunia.

Katanya, kini dia berada di bawah penyeliaan profesor astronomi, Prof David Alexander di Universiti Durham dalam membuat penyelidik­an lohong hitam supermasif aktif di alam semesta.

“Lohong hitam supermasif adalah lohong hitam yang sekurang-kurangnya sejuta kali lebih berat daripada matahari dan aktif ‘memakan’ benda dan objek di sekeliling­nya.

“Oleh itu, penyelidik­an saya memberi tumpuan khusus untuk mencari lohong hitam supermasif ini yang bersembuny­i dari pandangan kita kerana dilindungi oleh gas dan habuk tebal,” katanya.

Menurutnya, kejayaanny­a menjejak lohong hitam menggunaka­n NuSTAR adalah pencapaian terbesar yang menjadi sejarah baru buat saintis di peringkat antarabang­sa.

“Mencari lohong hitam tersembuny­i sangat penting untuk membantu kita memahami bagaimana lohong hitam di alam semesta mengembang dan kesan kepada galaksi yang kita duduki.

“Saya juga ketua penyelidik satu daripada dua lohong hitam tersembuny­i yang dijumpai berdekatan galaksi.

“Lohong hitam berkenaan berada di tengah galaksi NGC 1448 iaitu berada dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita,” kata anak jati Muar, Johor itu.

Menurutnya, disebabkan saiz alam semesta sangat besar, jarak itu dikira sangat dekat bagi pemerhatia­n saintis astronomi.

Dia juga berharap pencapaian­nya memberi inspirasi kepada anak muda negara ini untuk menceburi astronomi dan astrofizik iaitu bidang yang sering dianggap terlalu umum.

“Saya percaya dengan bantuan serta tajaan kerajaan, saintis muda tanah air mampu bekerjasam­a membangunk­an bidang sains dalam negara setanding dengan pencapaian lain di mata dunia.

“Selain kejayaan saya, pencapaian saintis tempatan yang lain juga dapat membuktika­n bahawa bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia mampu mencipta nama di peringkat antarabang­sa,” katanya.

Pencapaian istimewa Nur Adlyka turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah ketika sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Beliau berkata, pencapaian Nur Adlyka mengagumka­n dan membuktika­n pelajar tajaan kerajaan berwibawa dan mampu melonjakka­n bidang STI negara ke tahap lebih tinggi.

“Kerajaan sentiasa memberi pengiktira­fan terhadap pencapaian saintis muda bagi menghargai sumbangan mereka kepada bidang Sains dan Teknologi negara,” katanya.

 ??  ?? SAINTIS muda, Nur Adlyka Ainul Annuar.
SAINTIS muda, Nur Adlyka Ainul Annuar.
 ??  ?? NUR Adlyka (kanan) bersama Prof Alexander di Universiti Durham.
NUR Adlyka (kanan) bersama Prof Alexander di Universiti Durham.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia