Harian Metro

Disyaki ditikam angkara cemburu

-

Ipoh: Cemburu dipercayai motif seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di bahagian belakang badan di dalam bilik tidur rumahnya di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat Hamidah Abdul Rahman, 53, oleh anak bongsu mangsa yang ingin mengejutka­nnya pada waktu pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis menahan lelaki berusia 34 tahun yang juga peniaga di Pasar Besar Kampung Rapat, di sini, jam 12 tengah hari semalam kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan berkenaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa meninggal dunia berikutan pendarahan berlebihan akibat luka tikaman di beberapa bahagian badan.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan antaranya belakang badan, namun senjata digunakan suspek tidak ditemui di tempat kejadian.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan pecah di bahagian pintu masuk rumah dan pintu bilik tidur mangsa dengan mangsa dijumpai di bilik utama tingkat atas dalam keadaan telentang di atas katil.

“Turut ditemui kesan terbakar di bahagian langsir dan kerusi meja solek dalam bilik tidur berkenaan, namun tiada sebarang senjata ditemui,” katanya dalam kenyataann­ya, di sini, semalam.

Chang Keong berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan polis percaya sudah menyelesai­kan kes berkenaan dengan tertangkap­nya suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia