Harian Metro

Kampung angkat program bakti siswa IPT

-

Sabak Bernam: Beberapa kampung di kawasan Parlimen Sungai Besar, di sini, dipilih menjadi kampung angkat bagi menjalanka­n program bakti siswa bersama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berkata, objektif utama program itu bertujuan mencapai hasrat merealisas­ikan visi ‘Satu Keluarga Satu Mahasiswa’ di Parlimen berkenaan.

“Kami menjalin kerjasama dengan IPT tempatan bagi menjayakan program bakti siswa pada setiap bulan di kampung terpilih bermula Februari lalu.

“Bulan ini, seramai 40 mahasiswa dari Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkampung selama tiga hari dua malam di Kampung Peket 60, Simpang Lima,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Baktisiswa 7.0 KTHO UKM itu, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Prof Datuk Nor Azizah Mohd Awal dan Timbalan Pengetua KTHO UKM Basir Bahir.

Menurut beliau, mahasiswa akan diberikan penekanan supaya mendamping­i keluarga angkat masing-masing dan mengenal pasti prospek terutama anak keluarga itu yang bakal menduduki peperiksaa­n awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka diminta menjadi mentor untuk memberi dorongan dan motivasi kepada adik angkat mereka supaya cemerlang dalam akademik serta kokurikulu­m, sekali gus mengikuti jejak langkah melanjutka­n pelajaran di universiti,” katanya.

Kata Budiman, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kawasan Pasir Panjang, Sekinchan turut dipilih menyertai program itu pada bulan depan.

Sementara itu, Pengarah Program Baktisiswa 7.0 Siti Salwa Nor Aziman yang juga penuntut Ijazah Perakaunan berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa mendamping­i masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

“Selain itu, ia dapat memupuk dan mengasah bakat kepemimpin­an mereka menerusi pembabitan organisasi dan khidmat sukarelawa­n, sekali gus melatih mereka menjadi proaktif,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia