Harian Metro

TAKTIKAL EROPAH

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

„ Kim Swee terap kaedah bola sepak ala Inggeris berdepan Filipina

Gaya bola sepak ala Inggeris akan diterapkan pengendali Datuk Ong Kim Swee untuk memantapka­n lagi permainan skuad Harimau Malaysia yang berdepan ujian pertama tahun ini menentang Filipina dalam aksi persahabat­an antarabang­sa di Manila, 22 Mac ini.

Jurulatih kebangsaan itu berguru selama sebulan di London bersama kelab Liga Kejuaraan Queens Park Rangers di bawah tunjuk ajar pengurus Ian Holloway dan beliau mengakui banyak yang boleh dipraktikk­an anak buahnya kali ini.

“Banyak yang saya pelajari, sudah tentu banyak perkara yang boleh saya lakukan dengan pasukan dan ada perkara yang tak sesuai dilakukan. Mana yang baik saya akan gunakan dan saya harap apa kaedah sekalipun yang penting adalah keyakinan dan sikap pemain kena positif.

“Jika mereka boleh menerima dan boleh mempelajar­i dengan cepat, saya percaya dengan apa yang saya pelajari di sana boleh membantu serba sedikit mengenai kelebihan pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaysia yang masuk hari kedua semalam.

Skuad kebangsaan kini tetap fokus menjalani latihan pusat meskipun misi utama mereka turun beraksi bertemu Korea Utara di Pyongyang pada 28 Mac ini tidak kesampaian apabila Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) mengambil keputusan menangguhk­an perlawanan pertama Kumpulan B, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 atas alasan keselamata­n.

Kim Swee berkata, pasukannya sentiasa bersedia mengikut segala keputusan AFC termasuk beraksi pada tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

“Saya fikir apa-apa keputusan yang dibuat AFC, ia tidak akan memberikan impak kepada kami selagi tahap keselamata­n pasukan dijamin, maka kami akan pergi (bermain dengan Korea Utara).

“Namun, jika kerajaan (Malaysia) menyatakan kami tidak sepatutnya pergi,

maka kami juga tidak boleh pergi ke sana. Jadi, paling mustahak kedua-dua pihak harus bekerjasam­a dan jika tiada apa-apa halangan lagi, kami akan pergi,” katanya.

Jelas Kim Swee yang kembali menyambung tugas selepas kematian bapanya, Ong Chwee Guan, 74, fokusnya tetap dengan persediaan pasukan bertemu Filipina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia