Harian Metro

Zaquan idam tebus duka Piala AFF

-

Jaya: Pemain sayap Zaquan Adha Radzak mahu skuad Harimau Malaysia memulakan kempen tahun ini dengan lebih bertenaga bermula dengan aksi persahabat­an antarabang­sa menentang Filipina di Manila, 22 Mac ini.

Katanya, selepas kegagalan dalam kempen Piala AFF November lalu, skuad kebangsaan perlu mengorak langkah baru.

“Kami ada sasaran baru, ada pemain baru jadi kami kena buka fasa baru tahun ini. Perlawanan pertama dengan Filipina kami kena kembalikan semula moral, semangat skuad kebangsaan.

“Bukan kata Piala AFF itu satu pencapaian yang teruk tapi saya rasa mana-mana pasukan perlukan kejayaan dan kejayaan itu tidak berpihak kepada kita jadi saya rasa, kami kena teruskan usaha tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan.

Zaquan, 29, antara 24 pemain yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi sesi latihan pusat bermula kelmarin bagi menghadapi Filipina.

Pada awalnya, aksi menentang Filipina sebagai pemanas badan buat skuad kebangsaan sebelum berdepan Korea Utara di Pyongyang dalam perlawanan Kumpulan B, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini bagaimanap­un ia terpaksa ditangguhk­an oleh Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) atas faktor keselamata­n.

Zaquan yang kini menyarung jersi Perak turut beraksi ketika Harimau Malaysia tersingkir awal dalam saingan Piala AFF tahun lalu dan dia mengakui Filipina bakal memberikan ujian mencabar buat mereka.

“Saya pernah bermain dengan Filipina beberapa tahun lalu, mereka semakin bagus, kami tak seharusnya mengambil sikap sambil lewa. Saya rasa ini permulaan untuk membina semula permainan skuad kebangsaan,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia