Harian Metro

Syor tanggung subsidi minyak tak praktikal

-

Kuala Lumpur: Cadangan agar kerajaan menanggung subsidi jika harga petrol meningkat melebihi RM2.50 seliter tidak akan membantu kumpulan sasar lain yang lebih layak menerima bantuan.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, naik turun harga minyak dunia sukar dijangka menyebabka­n kerajaan perlu mencari jalan terbaik dan setakat ini kaedah pengapunga­n terkawal adalah yang terbaik buat rakyat.

“Apabila kita lakukan ketetapan harga, kita tidak tahu formula RM2.50 itu akan stabilkan harga atau tidak. Berdasarka­n analisis, harga minyak pernah naik sehingga RM2.90.

“Jika tiap-tiap waktu naik RM2.90 dalam tempoh lama dan panjang, maka kita terpaksa bayar harga yang besar. Kalau naik lima sen jumlah yang kita subsidi adalah RM100 juta, kalau 40 sen ia berjumlah RM800 juta.

“Tanggungja­wab kita adalah kepada kumpulan sasar yang tepat, kalau subsidi ini diberikan ia tidak begitu adil, kerana ia digunakan oleh semua dan sedikit kepada kumpulan sasar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyaka­n adakah kerajaan bercadang menanggung subsidi kenaikan harga petrol jika ia naik melebihi RM2.50 seliter di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata, kaedah pengapunga­n terkawal yang akan diumumkan setiap minggu bermula bulan depan dilihat kaedah paling sesuai buat masa ini kerana turun naik harga minyak tidak lagi begitu ketara serta ia juga dijangka memberikan keselesaan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak.

“Bermula 1 April akan saya umumkan tiap-tiap minggu kaedah baharu harga yang akan dibuat nanti. Kabinet bersetuju untuk dimulakan pada minggu depan,” katanya.

Menurutnya, penentuan harga runcit petrol dan diesel menerusi apungan terkawal itu berdasarka­n kepada harga pasaran menerusi perkiraan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).

Katanya, menerusi APM itu, purata harga pasaran bulan ini akan menentukan harga bulan depan.

 ??  ?? HAMZAH
HAMZAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia