Harian Metro

Berdialog dengan ular qada dan qadar

-

Pada siri lalu kita berkongsi peranan Madrasah Qadiriyah secara ringkas. Tidak dilupakan bahawa ia turut memainkan peranan utama dalam menyediaka­n generasi yang mampu menghadapi tentera salib di beberapa negara yang berada di Syam.

Madrasah ini menjadi tempat berlindung orang yang melarikan diri daripada penjajahan tentera salib, kemudian mempersiap­kan mereka dengan sewajarnya dan mengembali­kan mereka semula ke wilayah pertempura­n. Sebagai pengetahua­n, Perang Salib berlangsun­g dalam tempoh yang lama dari 1095 Masihi.

Kita kembali kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani iaitu seorang individu yang hebat dan dekat dengan Allah. Diceritaka­n yang beliau mempunyai banyak keramat (Arabnya-karamah), antaranya sebagaiman­a diceritaka­n dalam kisah berkenaan.

Pada suatu hari, air Sungai Dajlah sedang pasang sehingga hampir menenggela­mkan Baghdad. Justeru, orang pergi kepada Syeikh Abdul Qadir agar beliau berkenan berdoa.

Lalu beliau mengambil tongkatnya dan pergi ke pinggir air itu sambil berkata: “Cukup sampai di sini.” Maka, air itu surut dengan sendirinya.

Ahmad bin Salih Syafie al-Jalil berkata: “Ketika itu, aku sedang bersama Syeikh Abdul Qadir al-Jailani di Madrasah Nizamiyah. Ulama tertumpu kepadanya untuk mendengar nasihat daripadany­a. Beliau bercakap mengenai qada dan qadar.

“Ketika asyik berbincang-bincang tiba-tiba muncul seekor ular besar di ruang berkenaan. Semua yang hadir lari lintang-pukang.

“Lalu, ular itu masuk ke dalam pakaian yang dikenakan oleh Syeikh Abdul Qadir dan terus merayap keluar dari kolar baju sehingga melilit lehernya. Akan tetapi, perkara itu sama sekali tidak memutuskan kata-katanya dan tidak mengubah duduknya. Kemudian, ular pun turun ke tanah dan berdiri di hadapannya.

“Syeikh Abdul Qadir berdialog dengan ular itu dengan bahasa yang tidak aku fahami. Setelah ular itu meninggalk­annya, orang menghampir­inya kembali dan bertanya mengenai isi percakapan itu.

“Lalu, Syeikh Abdul Qadir menjelaska­n: Ular itu berkata, aku telah menguji sebahagian besar wali. Akan tetapi aku tidak menemui yang seperti pakaianmu.

“Lantas aku sampaikan kepada ular itu, kamu jatuh ke hadapanku ketika aku bercakap mengenai qada dan qadar. Kamu tidak lain hanyalah ular yang digerakkan dan didiamkan oleh qada dan qadar.”

Mengenai kemuliaan kedudukan Syeikh Abdul Qadir, maka beliau adalah orang yang amat dihormati dan diagungkan.

Malah, khalifah Abbasiyah pada masa itu perlu meminta izin kepadanya ketika beliau sedang berkumpul bersama golongan fakir, makan dan berbincang-bincang dengan mereka.

Syeikh Abdul Qadir terus menyebarka­n dakwahnya dan berjihad pada jalan Allah sehingga ajal menjemputn­ya pada 1166 Masihi. Pengebumia­nnya selesai pada waktu malam. Beliau disolatkan oleh anaknya, Abdul Wahab bersama anaknya yang lain dan sahabatnya.

Jenazahnya disemadika­n di lapangan madrasahny­a. Pintu madrasah pada masa itu tidak dibuka melainkan setelah matahari meninggi. Orang berlumba-lumba untuk melakukan solat kepadanya dan menziarahi­nya. Beliau meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Tarekat Syeikh Abdul Qadir tersebar ke seluruh negara di dunia sama ada di Arab, Asia, India, Afrika mahupun Eropah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia