Harian Metro

REZEKI TIGA BERADIK

- Hasbullah Azhar am@hmetro.com.my

„ Ramah serta fasih berbahasa Mandarin tarik

perhatian pelanggan beli aiskrim potong

Selain sikap peramah dan tidak putus memberikan senyuman kepada pelanggan, kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin turut menjadi pelaris kepada tiga beradik Melayu yang mengusahak­an gerai bergerak menjual aiskrim potong.

Mereka yang menetap di Flat Kampung Padang, Pokok Mangga itu, memulakan perniagaan pada jam 1 tengah hari sehingga jam 12 tengah malam di sekitar pusat bandar Melaka dan Sungai Melaka.

Nurul Farahana Hakim Lee, 22, anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, dia dan kakak sulungnya, Nurul Raizatul Ain, 26 serta adiknya, Nurul Dalia, 16, melakukan pekerjaan itu untuk membantu bapanya, Hakim Lee Abdullah, 65, yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Kami mula menjual aiskrim potong ini sejak empat tahun lalu dibantu abang ipar yang mengambiln­ya di sebuah kilang sebelum dijual pada harga RM2 sepotong.

“Pada hari tidak berniaga iaitu Isnin hingga Khamis, saya akan membantu ibu mengambil upah mengurut orang baru bersalin,” katanya yang fasih berbahasa Mandarin dipelajari daripada ayahnya berketurun­an Cina selain bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Tambah Farahana, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia menyambung pengajian di sebuah kolej pada 2013, tetapi terpaksa berhenti kerana yuran yang tinggi sebelum memilih untuk bekerja sebagai penjual aiskrim potong membantu kakak dan abang iparnya.

“Lagipun saya melihat perniagaan itu mampu berkembang lebih jauh selepas dimulakan oleh kakak dan abang ipar dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

“Namun, di sebalik itu ada juga kesukaran yang terpaksa di hadapi antaranya ketiadaan tapak perniagaan yang tetap serta kenderaan membawa tong aiskrim,” katanya.

Dia yang masih bujang berkata, kemampuann­ya bertutur dalam bahasa Mandarin juga menjadi kelebihan untuk menarik pelanggan Cina walaupun dengan penampilan bertudung.

“Pernah juga apabila berdepan dengan pelancong dari China, mereka terkejut dengan kefasihan saya bertutur dalam bahasa ibunda sekali gus memudahkan kami berkomunik­asi,” katanya.

Farahana berkata, dia dan kakak serta adiknya berharap dapat membuka sebuah kedai aiskrim milik mereka sendiri dan menjadi sumber utama pendapatan keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia