Harian Metro

‘Anggota polis’ kaki samun diberkas

-

Shah Alam: Kumpulan penjenayah dikenali Geng Sasshi dikesan menggunaka­n lampu mata arah dan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing di sekitar daerah ini sejak hujung tahun lalu.

Kegiatan haram mereka bagaimanap­un tumpas apabila seorang lelaki berusia 23 tahun diberkas di sekitar Temerloh, Pahang, 21 Mac lalu, sebelum dua lagi ahli geng itu yang berusia 17 dan 21 tahun ditahan di bandar raya ini, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kumpulan itu dikatakan menaiki kereta Toyota Vios dan menyalakan lampu mata arah sebelum berlegar di kawasan yang menjadi tumpuan warga asing ke tempat kerja.

Menurut beliau, mereka akan menahan warga asing kononnya untuk memeriksa dokumen namun bertindak menyamun mereka.

“Antara kawasan dipercayai kerap menjadi sasaran mereka adalah di sekitar Seri Muda dan beberapa lokasi lain yang mempunyai kilang menggajika­n pekerja asing.

“Mangsa kebanyakan­nya akan panik apabila ada individu memperkena­lkan diri sebagai polis dan itu taktik digunakan geng terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Kata Shafien, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang bekerja di sebuah kedai menjual telefon bimbit kerana dipercayai membeli barangan yang dijual suspek.

“Penahanan semua ahli geng itu turut membawa kepada rampasan sebilah pisau, beberapa telefon pintar dan kad bank.

“Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mereka turut didapati positif dadah jenis syabu,” katanya memaklumka­n kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia