Harian Metro

Kubo, Konno bawa Samurai Biru hampiri Russia

-

Al Ain: Jepun mengukuhka­n peluang layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan apabila anak buah Vahid Halilhodzi­c menewaskan Emiriah Arab Bersatu 2-0 kelmarin, manakala Iran menang 1-0 ke atas Qatar.

Yuya Kubo dan Yasuyuki Konno menyumbat gol pada setiap babak buat Jepun ketika juara Asia empat kali itu terikat 13 mata bersama Arab Saudi dalam Kumpulan B zon Asia selepas pasukan kendalian Bert van Marwijk membenam Thailand 3-0 di Bangkok.

Kedua-dua negara itu melonjak tiga mata di puncak carta dengan Australia merudum ke tangga ketiga selepas seri 1-1 dengan Iraq di Tehran.

Mathew Leckie meletakkan Socceroos di depan selepas 39 minit sebelum Ahmed Yasin merembat dari jarak dekat 14 minit sebelum tamat untuk meraih satu mata buat Iraq.

“Ia perlawanan yang sukar,” kata jurulatih Australia, Ange Postecoglo­u.

“Kami tidak cukup mantap di benteng pertahanan dan kami tidak mampu menguasai permainan.

“Persembaha­n kami mungkin tidak selayaknya meraih tiga mata hari ini tapi mujurlah mereka bekerja keras. Kami gagal menangani lawan pada babak kedua dan akhirnya mereka dapat mencuri satu mata.”

Arab Saudi meraih kemenangan selesa di Bangkok ketika negara Teluk itu meneruskan kecemerlan­gan mereka untuk layak buat kali pertama ke Piala Dunia sejak 2006, dengan penyerang Mohammad Al Sahlawi menyumbat gol ke-15 dalam kempen kelayakan setakat ini.

Sementara Iran mengukuhka­n cengkaman mereka di puncak Kumpulan A dengan kemenangan 1-0 ke atas Qatar yang membantu anak buah Carlos Queiroz melonjak empat mata di depan pasukan tangga kedua Korea Selatan. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia