Harian Metro

Kerapu kertang 130kg sangkut pukat

-

Shah Alam: Seorang nelayan laut dalam tidak menduga mendapat ‘durian runtuh’ apabila memperoleh ikan kerapu kertang seberat 130 kilogram (kg) ketika turun ke laut Selat Melaka kelmarin.

Nelayan terbabit, Ah Siang, 40, mampu meraih hasil RM6,500 selepas ikan kerapu itu dijual pada harga RM50 sekilogram kepada peniaga.

Ah Siang berkata, ikan kerapu itu berjaya ditangkap selepas tersangkut pada pukat tunda yang dipasangny­a merentasi laut berkenaan.

“Ikan kerapu ini ditangkap di laut Selat Melaka kira-kira lapan batu nautika dari Sungai Besar, Selangor.

“Saya tidak menyangka dapat menangkap ikan yang sangat berharga itu kerana ia jarang diperoleh nelayan di sini,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia serta rakannya mengangkat ikan berkenaan menggunaka­n kren dan mengambil masa separuh hari untuk membawa masuk ke jeti.

“Ini kali pertama saya mendapat ikan sebesar dan seberat ini. Malah ia agak sukar diperoleh di Sungai Besar ini.

“Ketika saya memberitah­u rakan di pasar berhubung penangkapa­n ikan itu, ia mendapat sambutan dan saya mengambil keputusan menjual ikan ini kepada peniaga yang menawarkan harga paling tinggi,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan yang berjaya memiliki ikan berkenaan, Heng Jin Chon, 33, berkata, dia membeli ikan kerapu kertang itu pada harga RM6,500 dan menjualnya semula pada harga RM60 sekilogram.

“Sebaik ikan kerapu tiba di pasar Pekan Subang ini, ia menjadi tumpuan ramai kerana saiznya yang besar.

“Dalam masa satu jam saja ikan ini sudah habis dijual kerana ramai pelanggan membuat tempahan awal,” katanya yang berniaga di Pasar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pekan Subang, di sini.

Menurutnya, sepanjang 10 tahun berniaga, itu kali pertama dia menjual ikan dengan berat lebih 100 kilogram.

 ??  ?? HENG menyiang ikan kerapu kertang yang dibelinya.
HENG menyiang ikan kerapu kertang yang dibelinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia