Harian Metro

Maut dirempuh jawab telefon

-

Kuala Terengganu: Seorang isteri tidak menyangka panggilan telefon dibuat suaminya adalah perbualan terakhir mereka selepas lelaki terbabit maut apabila motosikal ditunggang dirempuh kereta di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, di sini, jam 10.15 malam, kelmarin.

Mangsa, Ahamaddin Harun, 48, yang juga kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Marang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 berhenti di tepi jalan di hadapan sekolah berkenaan untuk menjawab panggilan telefon sebelum dirempuh kereta Perodua Kenari dipandu lelaki berusia 61 tahun.

Ketika kejadian, mangsa dan pemandu Perodua Kenari dikatakan dari lampu isyarat Jalan Budiman menghala ke lampu isyarat Panji Alam sebelum motosikal mangsa dirempuh kenderaan itu dari belakang.

Menurut Napisah Ismail, 40-an, dia tidak menyangka kemalangan itu membabitka­n suaminya kerana baru saja bercakap dengannya melalui telefon.

“Saya hanya tahu kejadian itu apabila dimaklumka­n kawan arwah terbabit dalam kemalangan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila saya sampai di lokasi, saya tanya polis nama mangsa sebab mayatnya sudah ditutup. Polis minta saya lihat motosikal dan apabila saya sahkan ia motosikal suami, polis pun bagi tahu nama si mati yang juga suami saya,” katanya.

Dalam pada itu, anak mangsa, Noranikah Asyirah Ahamaddin, 17, tidak menduga kemalangan di hadapan sekolahnya membabitka­n ayahnya.

“Ayah tidak pernah lewat mengambil saya selepas kelas tambahan tetapi hari ini, dia lambat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian.

 ??  ?? KEADAAN mangsa selepas dirempuh. Gambar kecil Ahamaddin.
KEADAAN mangsa selepas dirempuh. Gambar kecil Ahamaddin.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia