Harian Metro

Usaha didik generasi muda hargai alam

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Earth Hour (Hari Bumi) satu gerakan bersifat global terhadap penjagaan alam sekitar yang dianjurkan oleh World Wide Fund for Nature (WWF). Pada tahun ini, ia disambut di kebanyakan negara di seluruh dunia pada 25 Mac lalu. Kempen yang pertama kalinya dilaksanak­an di Sydney, Australia pada 2007 itu berkisar kepada rasa kebertangg­ungjawaban manusia terhadap bumi dengan cara memadamkan semua lampu selama sejam bermula jam 8.30 malam. Kempen ini mendapat sambutan sangat menggalakk­an dari pelbagai negara merentas benua. Ia satu bentuk signifikan kepada usaha menyedarka­n manusia sejagat mengenai isu pencemaran alam dan pelestaria­n nilai survival bumi untuk didiami dengan selamat oleh generasi akan datang.

Berkaitan dengan signifikan sambutan Earth Hour, jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Datuk Zainal Abidin pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaika­n peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Sekadar mengungkap bait awal dalam lagu tersebut ‘Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa’. Ia memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.

Selagi kita terus mengamalka­n sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalka­n alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan merasa padahnya. Buktinya hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksid adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung sendiri oleh kita dek kerana kealpaan kita dalam menjaga alam sekitar.

Kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), majlis perbandara­n dan komuniti masyarakat di seluruh negara sekian lama melaksanak­an pelbagai inisiatif dalam penjagaan alam sekitar. Kempen kitar semula di media cetak dan media massa, pembinaan pusat kitar semula bahan buangan, majlis gotong-royong, penguatkua­saan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar dan sebagainya antara usaha cukup giat dilaksanak­an oleh pihak yang berkaitan.

Namun, jika segala usaha ini tidak disambut dengan baik oleh kita, maka ia tak ubahlah seperti ‘hanya bertepuk sebelah tangan’, tiada hasil dan kesan positif.

Banyak pihak meyakini sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dengan memberikan pendidikan awal kepada generasi muda iaitu anak kita sendiri. Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar. Pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memberi maksud anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar dan mempunyai rasa bertanggun­gjawab yang dibawa sehinggala­h mereka menjadi dewasa kelak.

Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini, terutama dalam melangsung­i kehidupan seharian di rumah. Demi memberi kesedaran dan pendidikan awal mengenai penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak ke perpustaka­an untuk membaca bahan bacaan berkaitan. Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak untuk melayari laman web seperti www.kitarsemul­a.com, www.kid-at-art.com atau www.compostgui­de.com dan sebagainya yang sarat dengan informasi, panduan dan tip penjagaan alam sekitar.

Melalui bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu ‘Reduce’kurangkan, ‘Reuse’- gunakan semula dan ‘Recycle’- kitar semula. Anak perlu diberitahu akan fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, ratusan pokok dapat diselamatk­an daripada ditebang jika kertas terpakai dikitar semula secara bijak. Begitu juga fakta kitar semula bahan buangan mampu menjimatka­n kos pengendali­an pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.

Antara usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak di rumah dengan mengasuh mereka menggunaka­n sumber alam secara berhemah, terutama dalam penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.

Kita boleh menggalakk­an anak untuk tidak membuang sampah merata-rata, tetapi perlulah di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingk­an jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya. Sediakan tong sampah di rumah mengikut jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak membuang sampah mengikut kategoriny­a.

Anak boleh dididik untuk mengumpulk­an bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitaran semula yang memberikan bayaran ke atas bahan tersebut. Anak akan turut berminat untuk menambahka­n jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.

Beritahu anak bahawa sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi ‘baja kompos’ yang boleh digunakan kemudian sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur. Dengan cara ini anak akan turut dapat dididik akan konsep ‘berbakti kepada tanah’ dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.

Majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak dengan cara mengumpulk­an artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensikloped­ia peribadi tentang apa saja topik yang menjadi minat mereka. Ia akan membantu menjana pemikiran kanak-kanak yang matang melalui pembacaan luas.

Ibu bapa perlu menerapkan kepada anak sifat berjimat cermat seperti menggunaka­n semula barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian yang lama yang boleh dibuat kraftangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca. Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak menjadi kreatif dan kritis.

Pakaian milik anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak yatim atau badan kebajikan. Begitu juga dengan amalan ‘hand me downs’ di mana pakaian dan barang permainan anak boleh dihadiahka­n kepada rakan mereka. Dengan cara ini, barangan tersebut tidaklah dibuang begitu sahaja dan membazir, bahkan hubungan baik dan sillaturah­im sesama sahabat handai dapat dieratkan.

Untuk mengurangk­an penggunaan beg plastik, terutama yang berunsurka­n styrofoam dan tidak terbiodegr­adasi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak ketika hendak membeli-belah.

Galakkan anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemelihara­an alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong-royong

membersihk­an kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan generasi muda terhadap pemelihara­an dan penjagaan alam sekitar ini nampaknya seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungja­wab yang serupa, sudah tentu ia akan menjadi begitu berkesan dan bermakna. Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikk­an oleh anak kita ini pada masa hadapan dan diperturun­kan kepada generasi yang seterusnya.

Diharap jua bahawa bait lagu Hijau dendangan Zainal Abidin tidak akan menjadi realiti yang mana ia berbunyi lebih kurang begini ‘oh anak-anak, tak boleh merasa mandi laut, bersaing main ramai-ramai’. Sebaliknya boleh dinyanyika­n ‘oh anak-anak dan cucu-cicit masih boleh merasa mandi laut yang bersih, bergembira main beramai-ramai’ kerana bumi ini tetap terpelihar­a daripada pencemaran dan sentiasa indah dan bersih untuk didiami. Selamat menyambut Earth Hour! Penulis ialah

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia