Harian Metro

‘Keletahnya pasti dirindui’

-

Tumpat:“Saya pasti akan merindui keletahnya yang aktif dan petah bercakap seperti kanak-kanak normal lain,” kata Norima Mohd Nuzi, 37, ibu kepada penghidap kanser mata, Aminah Mohamad Amin, 5, yang menghembus­kan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, awal pagi semalam.

Aminah yang tidak boleh melihat menghembus­kan nafas terakhir di sisi Norima dan bapanya, Mohamad Amin Ahmad, 37, jam 1.30 pagi.

Norima berkata, perkara yang sukar dilupakann­ya adalah permintaan anak ketiga daripada empat beradik pada setiap pagi apabila mahu tingkap di rumah dibuka untuk ‘melihat’ dengan caranya sendiri.

“Biarpun tidak dapat melihat seperti kanak-kanak lain, tetapi setiap hari dia mahu tingkap di rumah dibuka untuk ‘melihat’. Pada masa sama dia juga seorang yang aktif dan petah bercakap seperti dia tidak menghidap penyakit kanser.

“Segala-galanya berubah sejak awal bulan lalu selepas dia dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan dan sejak hari itu dia tidak sedarkan diri sebelum menghembus­kan nafas terakhir pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya dimasukkan ke hospital sejak 5 Mac lalu untuk menjalani dua pembedahan membuang cecair di bahagian kepala kerana dipercayai sel kanser merebak dan terus tidak sedarkan diri.

“Sejak jam 10 pagi semalam (kelmarin) bacaan mesin hayatnya tiba-tiba menurun. Doktor memberi pilihan sama ada kami bersetuju untuk dilakukan rawatan awal pemulihan kardiopulm­onari (CPR) sebagai ikhtiar terakhir namun saya menolaknya kerana enggan menyakiti tubuh Aminah.

“Kemuncakny­a pada tengah malam tadi (semalam) apabila jururawat meminta saya dan suami memeluk serta mencium Aminah buat kali terakhir sebelum mesin bantuan pernafasan­nya terhenti dan Aminah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Norima mengakui beberapa jam sebelum Aminah meninggal dunia, suaminya yang tidur di luar bilik Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) bermimpika­n satu lembaga putih menyerupai jenazah.

“Mungkin itu petanda kami akan kehilangan Aminah buat selama-lamanya kerana suami mengakui pernah mengalami mimpi sama beberapa kali sebelum ini.

“Pemergiann­ya amat dirasai, namun reda dengan ketentuan Ilahi. Pada masa sama saya ingin mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu keluarga kami sepanjang hayat Aminah,” katanya.

 ??  ?? KELUARGA melihat keratan akhbar kisah Aminah yang menghidap kanser mata.
KELUARGA melihat keratan akhbar kisah Aminah yang menghidap kanser mata.
 ??  ?? LAPORAN Harian Metro 28 Mac 2016
LAPORAN Harian Metro 28 Mac 2016

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia