Harian Metro

Kereta melintang lepas terbabas

-

Lahad Datu: Kereta Proton Saga dinaiki enam mangsa dipercayai terbabas lalu melintang ketika melalui satu selekoh sebelum dirempuh kenderaan Isuzu D Max dari arah bertentang­an sehingga semua mangsa terkorban termasuk tiga beranak dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Lahad Datu Tawau, berhampira­n Jambatan Dewata, dekat sini, malam kelmarin.

Penumpang hadapan Proton Saga iaitu Ismail Mangu, 25, dan dua anaknya Sharil, 5, dan Putri, 2, serta kakaknya Farida Perada, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di badan.

Dua lagi mangsa yang maut ialah Said Tuan Kamba, 28, yang memandu kereta dan seorang lagi penumpang, Markus Mae Siku, 52.

Pemandu Isuzu D Max, 53, turut parah di pinggang dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Proton Saga BLM dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Tawau dan apabila tiba di tempat kejadian dipercayai Proton Saga disyaki hilang kawalan lalu terbabas melintang di lorong bertentang­an.

“Pada masa sama, kenderaan Isuzu D Max dari Tawau merempuh Proton Saga disebabkan jarak terlalu dekat.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan lima penumpang Proton Saga BLM meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan Isuzu D Max cedera dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Mohd Apandi Mahmood berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk mengeluark­an mangsa yang tersepit.

“Enam mangsa tersepit dalam Proton Saga dikeluarka­n anggota bomba dan mereka disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Lahad Datu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia