Harian Metro

Harap skrip sama berulang lagi

-

Kuching: Selepas cemerlang merangkul gelaran naib juara Masters Malaysia di Sibu Januari lalu, gandingan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengharapk­an skrip sama berulang di negeri ini menjelang Terbuka Malaysia bermula esok.

Masters Malaysia adalah aksi sulung mereka pada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas dan kali ini di Stadium Perpaduan, Petra Jaya juga penampilan pertama buat anak didik Cheah Soon Kit pada kejohanan bertaraf Siri Super Perdana.

Menurut Izzuddin, dia berasa teruja untuk turun beraksi buat kali pertama pada Terbuka Malaysia walaupun perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dulu.

“Kami jadi lebih bersemanga­t untuk menjalani latihan sejak kebelakang­an ini dan jurulatih (Soon Kit) juga banyak memberi tunjuk ajar kepada kami bagaimana untuk menghadapi kejohanan lebih besar,” kata pemain kelahiran Johor itu.

Selepas hampir tiga bulan tidak menyertai sebarang kejohanan, Sze Fei-Izzuddin mengakui teruja untuk membuat penampilan sulung di Terbuka Malaysia walaupun sedar saingan kali ini lebih sukar berbanding Masters Malaysia.

“Kami memang suka beraksi di Sarawak kerana penyokong sentiasa memberi sokongan padu dari pusingan awal hingga perlawanan akhir ketika di Sibu Januari lalu. Disebabkan kami bukan gandingan pilihan ia membuatkan kami lebih bersemanga­t untuk melakar kejutan dan membuktika­n mampu melakukan sesuatu di kejohanan besar,” ujarnya.

Mereka akan turun ke gelanggang esok dan berdepan aksi pertama kelayakan menentang Liao Kuan Hao-Lu Chia Pin dari Taiwan, manakala perlawanan kedua dijangka berdepan antara pemenang, Satwiksair­aj Rankireddy-Shiraq Shetty (India) atau Lukhi Apri Nugroho-Tedi Supriadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia