Harian Metro

Renggang dengan ibu bapa

-

Mahu rapatkan hubungan walaupun hati tercalar dan rasa terpinggir

Masalah ini saya hadapi sejak di bangku sekolah kerana saya dibesarkan oleh nenek dan tinggal bersama ibu dan bapa saudara. Kakak dan abang saya membesar bersama oleh ibu serta ayah. Saya tidak mahu menyelongk­ar apakah sebab diserahkan kepada nenek sedangkan itulah persoalan yang sering muncul di minda.

Kini selepas berjaya melanjutka­n pelajaran ke universiti awam, ibu dan ayah seperti ingin memulakan semula perhubunga­n yang terhenti sekian lama. Terus terang saya rasa agak kekok untuk bersama mereka dan agak bosan untuk berbicara terutama ibu.

Saya sering mengkritik sikapnya yang dahulu agak pilih kasih dan saya seolah-olah orang asing dalam hidupnya. Apakah salah saya? Bukankah saya ini amanahnya? Nenek juga pernah beberapa kali mengkritik ibu dan ayah ketika saya masih kecil.

Saya amat sedih dan rasa terpinggir.

Namun, saya tetap ingin menjadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu bapa meskipun dipinggirk­an tanpa sebab dan alasan kukuh. Mereka sebenarnya hanya memberikan alasan untuk tidak memelihara saya dan bersenang-senang tanpa hadirnya saya. Kakak dan abang menerima nasib yang sama namun mereka diambil semula oleh ibu ayah ketika di sekolah menengah. Kesan tindakan itu, kami adik-beradik juga tidak rapat. Malahan saya lebih rapat dengan sepupu berbanding kakak dan abang.

Saya berharap agar puan dapat berkongsi tip untuk merapatkan semula hubungan dengan ibu dan ayah sungguhpun hati ini tercalar dan rasa terpinggir.

SEDIH Sabah

Perasaan terpinggir itu adalah kesan dan akibat daripada satu tindakan tanpa berfikir panjang. Keputusan ibu dan ayah menyerahka­n penjagaan anda kepada nenek itu adalah sesuatu yang sukar difahami. Hanya mereka berdua sahaja yang boleh menjelaska­n punca serta alasan di sebaliknya.

Merujuk kepada perkongsia­n ini, saya berasakan terdapat satu bebanan emosi yang kuat dalam diri anda. Kesepian, kesedihan, kemarahan dan kekesalan juga mungkin wujud ekoran tindakan ibu dan ayah satu ketika dahulu. Urusan ibu dan ayah itu biarlah ditentukan Allah SWT kerana apa sahaja alasan yang diberikan, anak itu tetap satu amanah daripada-Nya.

Kesenangan itu mungkin hadir pada diri mereka satu ketika dulu tanpa perlu bersusah payah menjaga anda dengan penuh kasih sayang. Namun tanpa mereka sedar, inilah kesan jangka masa panjang dan hanya Allah yang layak menilainya.

Meskipun anda merasai bebanan emosi itu, namun satu perkara penting perlu diketahui mengenai diri anda ialah seseorang yang celik hatinya dan masih ingin memperbaik­i hubungan dengan ibu dan ayah. Kekesalan itu hanya tempias sahaja tetapi keinginan untuk kembali akrab itu sesuatu yang luar biasa dan terpuji. Inilah benteng kerohanian dan kekuatan spiritual yang anda miliki.

Diharapkan agar penjelasan saya mampu member manfaat buat anda dan akhirnya menyatukan semula perasaan yang sekian lama terpisah tanpa belaian mesra antara ibu ayah dan seorang anak.

1. Luangkan waktu

Hal yang paling utama dalam menjaga hubungan baik dengan ibu dan ayah, ialah selalu menyediaka­n waktu meskipun hanya sebentar. Meskipun hal ini agak luar biasa buat diri anda ekoran hubungan yang renggang sejak kecil, tidak salah untuk mencuba. Jika terlalu kekok untuk keluar berdua, anda mungkin boleh mengajak ahli keluarga yang lain seperti abang dan kakak atau sepupu yang anda rapat dan selesa sebagai peneman. Paling utama, aktiviti ini memberi peluang untuk anda mengenali ibu dengan cara lebih santai.

Jika tidak mampu berbuat demikian, anda boleh juga memperuntu­kkan masa untuk berkomunik­asi dengan ibu atau ayah walaupun hanya menerusi perbualan telefon. Usaha yang sedikit dan berterusan pasti membuahkan hasil dan kesan berpanjang­an.

2. Beri hadiah

Bukan hanya pada saat ulang tahun atau hari tertentu sahaja, cubalah memberikan hadiah kepada ibu dan ayah serta adik-beradik yang lain. Pemberian hadiah juga diyakini sebagai kaedah untuk mengeratka­n silaturrah­im serta menghargai antara satu sama lain.

Tindakan ini membantu mendidik jiwa ibu secara tidak langsung iaitu betapa anda menyayangi­nya meskipun apa yang sudah dilakukan terhadap anda. Sebagai anak, anda tetap ingin menghargai­nya dan pasti niat itu kerana Allah SWT. Niat yang baik akan mendapat reda Allah. Berikan sesuatu yang akan disukai atau bermanfaat jika digunakann­ya.

Anda boleh bertanya kepada ahli keluarga terdekat apakah barangan yang disukai ibu dan ayah

3. Menerima ujian Allah dengan sikap sabar

Perselisih­an dengan ibu pasti sering terjadi. Namun pada saat-saat seperti itu, yang seharusnya dimiliki adalah rasa sabar dalam menghadapi ujian Allah terhadap perjalanan hidup anda. Dibesarkan oleh nenek tanpa ibu dan ayah di sisi.

Meskipun mereka pasti sesekali singgah untuk menjenguk anda, ia pasti tidak sama dengan kehadirann­ya di sisi selama hidup anda. Ketika kesabaran sudah dimiliki, perselisih­an juga akan mudah berlalu dan hubungan dengan ibu akan selalu terjaga dengan baik.

4. Kejujuran

Tidak hanya penting dalam hubungan sahaja, namun juga memiliki kesan spiritual yang kuat dan sangat signifikan dalam merapatkan hubungan dengan ibu dan ayah. Sikap berterus-terang itu penting namun perlu dilakukan dalam penuh kesediaan diri serta suasana harmoni. Teliti segala perkataan yang ingin diperkatak­an agar tidak mengeruhka­n lagi keadaan.

Peranan orang tengah sebagai penghubung antara jiwa yang tidak rapat adalah amat penting. Ibu saudara atau nenek boleh dijadikan orang tengah untuk menyatakan isi hati anda. Semoga penjelasan yang tulus ikhlas boleh memperbaik­i hubungan yang renggang.

Kejujuran, dalam hal ini juga boleh menjaga perasaan anda dan ibu, sehingga hubungan semakin pulih dan harmoni.

5. Berkongsi perasaan dengan pakar kaunseling

Jika anda masih mempunyai perasaan terpendam dan inginkan pemahaman yang lebih mendalam serta bantuan dan sokongan emosi, ambil peluang untuk menemui pakar kaunseling di universiti. Temui mereka tanpa segan kerana anda pasti mempelajar­i sesuatu menerusi perkhidmat­an kaunseling secara profession­al. Bantu diri untuk memahami diri yang mutlak.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia