Harian Metro

ESOK MASIH ADA

„ Wanita hidap penyakit tiroid dibedah 4 kali buang ketumbuhan berulang

- Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Ampang

“Saat kali pertama disahkan menghidap penyakit kanser tiroid 22 tahun lalu, memang saya akui dunia bagaikan gelap gelita.

“Namun saya cekalkan hati dan kuatkan semangat kerana menghidap penyakit barah bukan satu pengakhira­n kerana sehingga ke hari ini, Allah masih memberi saya peluang meneruskan kerjaya dan kehidupan,” kata Mariana Musa, antara pesakit kanser yang mampu bertahan meskipun disahkan menghidap penyakit maut itu lebih dua dekad lalu.

Di sebalik sikap ceria dan peramahnya, siapa sangka wanita berusia 48 tahun ini bertarung nyawa melawan penyakit kanser tiroid sejak berusia 26 tahun dan menjalani empat kali pembedahan membuang ketumbuhan berulang di leher.

Meskipun bertarung nyawa dengan penyakit itu dan asyik keluar masuk hospital menjalani rawatan, Mariana masih mampu meraih kejayaan dalam kerjaya diceburi.

Mariana yang memegang jawatan sebagai Pengurus Kumpulan di Great Eastern Life dan Takaful pernah mendapat pengiktira­fan antarabang­sa ‘Million Dollar Round Table’, ‘Supremacy Award by Great Eastern’ serta ‘Champion of Adversity’ atas kejayaan cemerlangn­ya dalam bidang insurans.

Katanya, beliau sedar lumrah kebanyakan pesakit kanser berdepan risiko kehilangan pekerjaan namun tidak mahu terlalu memikirkan­nya.

“Saya seorang yang positif dan tidak pernah menganggap diri sakit, sebaliknya aktif seperti biasa meskipun tidak pernah mengikuti rawatan kemoterapi dan radioterap­i yang disyorkan doktor.

“Tipulah jika mengatakan tidak pernah putus asa, tetapi saya cuba buang perasaan itu jauh-jauh dan kebanyakan masa dipenuhkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

“Alhamdulil­lah, saya masih mampu bekerja dan mencari rezeki halal seperti golongan sihat lain,” katanya.

Menurut Mariana, pada awal Februari lalu, beliau menjalani pembedahan bagi membuang empat lagi ketumbuhan di leher dan pemeriksaa­n susulan akhir bulan mendapati peti suaranya mungkin terpaksa dibuang.

Difahamkan, tindakan itu mungkin diambil kerana ketumbuhan melekat pada saluran makanan di leher, tetapi pembedahan berisiko kerana mungkin menyebabka­n saluran makanan bocor, sekali gus mengganggu sistem penghadama­n.

“Doktor menyaranka­n supaya membuat pembedahan kerana sekiranya ketumbuhan ini membesar, khuatir ia menyebabka­n peti suara terpaksa dibuang,” katanya.

Jelas Mariana, apa yang berlaku pada dirinya ujian Ilahi dan sebagai hamba, beliau reda menerima.

Menurutnya, beliau berpegang teguh dengan iman dan percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Katanya, penyakit dihadapi bukan satu bebanan kerana menggunaka­n pengalaman sendiri ketika menerangka­n kepada pelanggan mengenai pentingnya insurans.

“Ini kerana, apabila disahkan menghidap kanser isu utama ialah kewangan kerana rawatan membabitka­n kos besar dan lebih terjamin sekiranya mempunyai insurans,” katanya yang turut aktif bersukan dan menjadikan buku motivasi sebagai peneman pada masa lapang.

 ??  ??
 ??  ?? MARIANA menyertai pelbagai aktiviti larian untuk kekal sihat dan positif.
MARIANA menyertai pelbagai aktiviti larian untuk kekal sihat dan positif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia