Harian Metro

Cerita rokok, ludah di Causeway Bay

-

Salah satu lokasi paling popular di dalam filem dan drama TVB ialah persimpang­an lapan lorong Hennesy Road, berhadapan pusat beli-belah Sogo dan Haysan Place di Causeway Bay.

Ia popular kerana pada setiap masa berpusu-pusu manusia pelbagai rupa dan warna melintas menyeberan­gi jalan tersebut ke destinasi seterusnya.

Luasnya persimpang­an itu bersamaan dengan tiga kali ganda bulatan Puduraya di Kuala Lumpur.

Saya gemar berdiri membelakan­gi gedung Sogo untuk melihat manusia pelbagai aksi dan gaya menunggu lampu isyarat hijau untuk pejalan kaki.

Mereka ibarat peserta larian Olimpik yang menunggu isyarat lampu hijau untuk pecutan.

Lampu bertukar hijau, mereka akan melintas dan bersimpang-siur di celah-celah bahu manusia dan kereta sorong bayi serta orang tua.

Sebaik lampu isyarat bertukar merah, persimpang­an itu tadi menjadi lengang dan segala macam gerombolan manusia yang baru pula beratur di kedua-dua belah jalan persis robot.

Di sini, jelas terbukti Hong Kong ialah sebuah wilayah kecil yang terlampau padat dengan manusia.

Manusia robot Hong Kong ini mewakili hampir keseluruha­n populasi pekerja dewasa yang menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara pulau kecil ini.

Jika anda pelancong, agak senang untuk membezakan anda sekalian berbanding rakyat tempatan.

Walaupun berkulit kuning langsat dan bermata sepet, namun karakter dan tindak balas kita semua berbeza.

Sebagai contoh, orang tempatan berjalan laju.

Mereka jarang berhenti kecuali untuk singgah ke kedai serbaneka 7 eleven untuk membeli makanan.

Jika pelancong, sudah tentu jalannya terhenti-henti disebabkan keriangan untuk mengambil gambar dan berswafoto.

Pelancong China misalnya, bergerak perlahan-lahan, tetapi berdisipli­n ibarat tentera dengan akur mengekori pemandu pelancong yang akan memegang bendera di hadapan.

Pelancong Singapura terbawa-bawa dengan sikap pembersih mereka dengan berhenti di setiap tong sampah majlis perbandara­n untuk membuang sampah.

Ada saja yang dikeluarka­n dari beg mereka. Kertas tisu, resit sarapan, tiket Disneyland, kertas loteri dan berbagai lagi.

Orang Hong Kong pula akan berdiri mengelilin­gi tong sampah untuk merokok. Ini kerana denda bagi membuang puntung rokok merata-rata HK$2,000 bersamaan RM1,100.

Kalau yang berjalan lenggang kangkung macam Mak Minah pergi pasar sambil asap berkepul-kepul itu sudah tentulah orang Malaysia.

Maklumlah, terbawa-bawa tabiat semula jadi kita ke sana.

Berdiri di Causeway Bay ini ibarat terapi minda yang berkisar kepada perbezaan karakter diri seseorang berdasarka­n negara asal mereka.

Tong sampah majlis perbandara­n juga ada ceritanya.

Jika di Lockhart Road, Wan Chai setiap tong sampah sepanjang dua blok ke barat akan penuh dengan tin minuman keras di awal pagi.

Ini kerana dua blok ini terkenal dengan pusat hiburan dan pub yang rata-rata popular dalam kalangan mat salih atau ‘Gwai-Lo’.

Tong sampah sini lebih berdisipli­n. Tiada vandalisme, malah jika isinya penuh di dalam maka tin itu disusun cantik di kaki tong.

Ini memudahkan kerja pembersiha­n dan penyelengg­araan yang akan bermula setiap hari jam

5 pagi.

Lain halnya dengan dua blok ke timur di Lockhart Road ini yang popular dengan pusat hiburan yang dipenuhi rakyat tempatan dan orang Asia.

Isi tong sampah dipenuhi berbagai macam ragam barang buangan terutama botol kaca minuman keras dari Tanah Besar China berlabelka­n kala jengking tempang dan harimau tersengih.

Isinya padat dan selalu terbabas keluar dari perut tong. Di dalamnya juga kadang-kadang ada beg tangan dan kasut wanita, terutama daripada isteri yang mengetuk kepala suami mereka di pub sampai patah tumit kasutnya.

Drama ini biasa, menjadikan Lockhart Road sebagai pentas lintas langsung terkini opera dunia.

Syabas jika anda dapat bertahan lebih dari 15 minit berdiri bersebelah­an persimpang­an jalan yang sibuk betul-betul di bawah tiang lampu isyarat bersebelah­an tong sampah.

Anda akan lihat, orang tempatan begitu berhati-hati dengan penyebaran virus.

Mereka pernah dilanda wabak SARS yang mengorbank­an ratusan nyawa. Mereka begitu cermat untuk tidak mengotorka­n udara dan membasmi pencemaran.

Jadi, jangan hairan jika seorang Leng Chai berdiri sebelah tong sampah dan mengeluark­an kahak, meludah ke dalam kertas tisu dan membuangny­a ke dalam tong dengan cermat.

Tisu itu tadi dilipat rapi ibarat piawaian teknologi biotek.

Kejap lagi, datang pula seorang tua yang akan mengeluark­an bunyi-bunyi

pelik dari tekak dan meludah terus ke dalam tong sampah. Itu beza di antara dua generasi.

Anda jangan pula terkejut, apabila datang seorang lagi dengan berbagai bunyi ibarat konsert orkestra dan meludah terus ke atas jalan atau dinding.

Ini manusia lain macam, sudah tentu bukan rakyat tempatan. Ini geng melepas tepi longkang, asal lubang mesti ada barang.

Tip terakhir, apabila anda sudah puas dengan terapi minda ini jangan pula berlenggan­g ke tandas awam.

Tandas awam Hong Kong tiada air jirusan.

Anda perlu sentiasa bersedia dengan kertas tisu bergulung-gulung di dalam kocek.

Lokasi tandas juga agak berjauhan dan kebanyakan restoran tidak membenarka­n pelanggan menggunaka­n tandas mereka.

Jadi, selain kertas tisu, anda juga perlu sediakan botol kecil untuk saat-saat kecemasan.

Anda juga harus bersedia menyalak balik kepada mereka yang mengetuk-ngetuk pintu tandas anda menyuruh anda cepat.

Ingat pesan saya, bukan cakap dan bukan jerit. Tetapi menyalak. Penulis Pengurusan Kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia