Harian Metro

PENGEMIS 5 BINTANG

„ Tinjauan dedah pengemis raih RM5,000 dalam sehari

- Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

> Beberapa kawasan di sekitar ibu kota menjadi lubuk rezeki bagi pengemis yang bukan lagi sekadar mencari sesuap nasi, malah mampu mengumpul kekayaan dengan mengutip sedekah sehingga RM5,000 satu malam. Pemerhatia­n wartawan Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling mendapati enam kumpulan peminta sedekah berlainan menakluki lokasi tumpuan ramai termasuk pelancong terutama pada hujung minggu.

Mengejutka­n apabila beberapa kumpulan peminta sedekah kanak-kanak dan remaja tempatan serta warga asing yang ligat mencari rezeki di kawasan tumpuan pelancong di ibu kota mampu memperoleh sehingga RM5,000 satu malam.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah sekitar Bukit Bintang, Jalan Masjid India dan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Tinjauan Harian Metro sekitar jam 8 malam mendapati peminta sedekah kanak-kanak dan remaja itu menjadikan pelanggan restoran serta pengunjung pusat perniagaan di kawasan berkenaan sebagai sasaran termasuk pelancong asing.

Mereka bergerak dari meja ke meja di dalam restoran meminta sumbangan dengan menawarkan surah Yasin dan ada yang mendakwa mereka dihantar sekolah agama atau pusat tahfiz untuk mengutip derma membuat bangunan baru.

Ada yang dimarahi pekerja restoran menyebabka­n mereka segera beredar ke kawasan lain sebelum diganti kanak-kanak lain yang terus meminta derma daripada pelanggan sehingga mengundang rasa kurang senang orang ramai di situ.

‘Kekayaan’ kutipan pengemis ini terhasil daripada tinjauan yang dilakukan Pemuda UMNO Bukit Bintang yang menubuhkan pasukan khas memantau pergerakan kumpulan kanak-kanak terbabit selepas menerima aduan daripada pelbagai pihak.

Ketuanya, Jefree Zain Affendi berkata, pihaknya membuat pemantauan sejak tiga bulan lalu dan mendapati ada enam kumpulan peminta sedekah berlainan berlegar-legar di sekitar lokasi seperti pusat perniagaan yang menjadi tarikan pengunjung terutama hujung minggu.

Harian Metro turut serta dalam tinjauan berkenaan dan mendapati kanak-kanak lebih mudah mendapat wang terutama daripada pelancong yang nyata bersimpati.

Hasil pemantauan itu juga mendapati remaja dan kanak-kanak tempatan juga meminta sedekah termasuk daripada pusat pengajian agama yang mengutip derma untuk membiaya naik taraf sekolah dan rumah anak yatim.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan itu yang semakin menjadi-jadi sejak beberapa bulan lalu dan menubuhkan pasukan berkenaan untuk memantau hampir setiap malam di lokasi terbabit.

“Sebelum ini, kita dimaklumka­n kawasan ini menjadi tempat warga asing memungut derma. Ada yang menjual ayat al-Quran, derma pusat tahfiz dan sebagainya. Tetapi berdasarka­n tinjauan ada juga warga tempatan yang terbabit.

“Kami juga tahu agensi terbabit dan pihak berkuasa sudah pun melakukan operasi, tetapi ia seperti tiada kesudahan. Apa yang kami bimbangkan ia menjejaska­n nama baik Kuala Lumpur sebagai destinasi pelanconga­n,” katanya kepada Harian Metro.

Jefree berkata, dalam tinjauan itu juga, satu elemen membimbang­kan ialah bagaimana kanak-kanak ini terdedah kepada pelakuan jenayah kerana mereka menyimpan wang tunai dalam jumlah yang banyak iaitu antara RM400 hingga RM500 pada satu-satu masa.

Katanya, satu laporan penuh mengenai pemantauan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membolehka­n siasatan dan tindakan diambil sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

“Pada masa sama, pasukan berkenaan akan terus meninjau di lokasi berkenaan bagi mendapatka­n gambaran penuh pergerakan kumpulan peminta sedekah terbabit kerana kami syak mereka ini didalangi sindiket tertentu yang menjadi dalang utama.

“Kami khuatir jika ada anak-anak kita yang sepatutnya berada di rumah bersama keluarga atau yang belajar di pusat tahfiz, tetapi berada di jalanan untuk mengemis,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia