Harian Metro

KDN tak teragak-agak ambil tindakan

-

Kajang: Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebuah akhbar berbahasa cina, Nanyang Siang Pau yang dilihat cuba melakukan provokasi apabila menyentuh sensitivit­i agama Islam serta menjejaska­n ketenteram­an awam susulan penyiaran karikatur yang dikaitkan dengan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan mereka diingatkan supaya jangan cuba memperbesa­rkan isu berhubung pindaan rang undang-undang itu kerana ia hanya berkaitan dengan kepentinga­n orang Islam saja.

Katanya, perkara itu perlu dilihat secara positif oleh semua pihak manakala orang bukan Islam tidak perlu berasa risau atau takut dengan usul pindaan terbabit kerana ia secara jelas tidak berkaitan dengan mereka.

“Saya minta semua pihak berhati-hati dalam isu RUU 355 ini kerana ia menyentuh perkara sensitif seperti agama Islam. Saya tidak mahu ia diperbesar­kan kerana membabitka­n ketenteram­an awam.

“Lihatlah usul pindaan itu secara positif kerana ia tidak membabitka­n orang bukan Islam, tetapi hanya kepada orang Islam saja. Mereka tidak perlu risau atau takut. Kita akan lihat dan jika akhbar ini masih meneruskan tindakan mereka itu, tindakan amaran akan diambil.

“Perkara ini jangan diacah-acah kerana kita mahu diselesaik­an secara aman. Ia sudah dibentangk­an dalam Parlimen dan sepatutnya tunggu sesi Parlimen akan datang apabila ia dibahas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kerjasama Strategik Antara Kementeria­n dan Jabatan Dalam Mewujudkan Kesejahter­aan Di Tempat Kerja, di ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini, semalam.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia