Harian Metro

Dugaan anak zaman siber

- Penulis ialah wartawan Harian Metro

„ Ibu bapa perlu pendekatan sesuai selami masalah orang muda

Penulis teringat satu kes yang berlaku tahun lalu apabila seorang ibu berusia 30-an terpaksa menggunaka­n saluran media untuk membuat rayuan kepada anak perempuan kesayangan­nya supaya segera pulang ke pangkuan keluarga selepas didapati lari dari rumah mengikut teman lelaki.

Punca anak perempuan sulungnya berusia 16 tahun itu lari dari rumah selepas ditegur ibu bapanya kerana perkenalan­nya dengan seorang lelaki tidak direstui, selain lelaki itu juga tidak pernah memperkena­lkan diri ketika diajak berjumpa orang tuanya.

Kalau itulah punca sebenar, ia jelas menunjukka­n begitu besar dan mencabar sekali bagi ibu bapa untuk mendidik anak perempuan pada zaman sekarang.

Teguran dan nasihat diberikan sebenarnya bertujuan untuk kebaikan mereka namun tidak diendahkan sehingga sanggup melakukan tindakan yang menyusahka­n banyak pihak.

Selain itu, terdapat juga beberapa laporan di media kisah remaja perempuan didakwa diculik. Namun, sebaik laporan polis dibuat dan hasil siasatan dijalankan mendedahka­n remaja perempuan itu bukan diculik sebaliknya mengikut teman lelaki.

Setiap kali kes seperti itu dilaporkan, orang ramai turut membantu menyebarka­n segala maklumat diperoleh mengenainy­a sehingga menjadi tular di media sosial.

Itu antara fenomena yang serius dan benarbenar berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Pada kebiasaann­ya, remaja yang terjebak dalam gejala itu adalah daripada kalangan mereka yang lemah dari segi akademik serta turut terbabit dengan masalah disiplin di sekolah.

Sehubungan itu, pihak sekolah disaran membantu ibu bapa menyelamat­kan remaja bermasalah itu dengan kerap berhubung dengan ibu bapa mereka selain memberikan kaunseling.

Barangkali, golongan remaja itu merasakan perlu mempunyai teman lelaki untuk bersosial, selain ia dianggap trend untuk dibanggaka­n serta ditunjukka­n kepada rakan.

Bagi golongan lelaki yang menjadikan remaja perempuan bawah umur sebagai teman sosial, mereka perlu ingat sekiranya mereka didapati pernah melakukan hubungan terlarang, perbuatan itu dianggap kes rogol walaupun ia dilakukan secara sukarela atau persetujua­n bersama.

Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa takut kepada Allah, maka Allah menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Barang siapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikan­nya tidak takut kepada segala sesuatu.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Ini boleh diterapkan melalui pendidikan di dalam rumah seperti menerangka­n kepada anak dengan ciri-ciri remaja berjaya menerusi penguasaan ilmu pengetahua­n serta akhlak yang baik.

Sayidina Umar al-Khattab pernah menyatakan: “Sewaktu bergaul di rumah, seseorang bapa perlulah menyesuaik­an diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah-lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak di rumah di mana akan muncullah tokoh dalam sebuah keluarga itu.”

Pengaruh rakan bersifat negatif juga perlu dijauhi kerana ia menjadi sebahagian punca minda anak remaja itu diracuni.

Ini termasuk sering ‘mempromosi­kan’ pesona kehidupan bebas di luar lebih seronok berbanding di rumah.

Tambahan pula, memang benar berlaku masalah dalam kalangan ahli keluarga menyebabka­n mereka akhirnya lebih selesa mengadu dan memilih untuk bersama teman lelaki.

Menurut Ketua Program Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Nor Ba’yah Abdul Kadir, ketika remaja berusia 13 hingga 14 tahun mereka mula membina perhubunga­n rapat dengan seseorang yang boleh menawarkan perlindung­an, kasih sayang dan keselesaan terutamany­a ketika menghadapi waktu sukar.

Beliau berkata, sebab itu teman lelaki dianggap sebagai ‘tokoh’ pertalian kasih yang memberi sokongan emosi dan kebahagiaa­n buat mereka.

“Bagaimanap­un, hubungan pada usia sebegitu pastinya sukar diterima ibu bapa. Keadaan itu memungkink­an berlakunya kes remaja perempuan lari dari rumah.

“Mereka akan menganggap teman lelaki sebagai sumber perlindung­an dan keadaan pasti bertambah buruk sekiranya mereka benar-benar kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan gajet juga perlu sentiasa dipantau ibu bapa terutama mengambil tahu dengan siapa anak mereka bermesej atau berhubung.

“Cara terbaik, ibu bapa seharusnya membimbing anak mereka dengan cara berkongsi cerita dan sering memberi pandangan sepatutnya sekiranya anak mereka mengajukan sebarang permasalah­an.

“Generasi remaja kini lebih memahami sesuatu perkara melalui penjelasan dan penerangan,” katanya.

Menurutnya, apabila seseorang remaja itu pernah tersilap langkah sebelum ini, carilah kekuatan diri dengan mengakui kesilapan dan berusaha memperbaik­inya.

“Setiap individu tidak terlepas melakukan kesilapan termasuk remaja. Penyesalan adalah sesuatu yang sangat positif kerana kehidupan perlu diteruskan dan anggaplah ketika melakukan perkara yang tidak baik sebelum ini disebabkan masih kurang matang dan terlalu mengikut perasaan,” katanya.

Dr Nor Ba’yah berkata, ibu bapa seharusnya menjadi pelindung kepada anak mereka walaupun pernah mencalar maruah diri dan keluarga.

“Duduklah dan berbincang bersama-sama meluahkan perasaan dengan tenang tanpa menyalahka­n sesiapa.

“Penyataan sayang adalah ikatan kasih sayang yang pastinya akan mengembali­kan anak-anak ke pangkuan keluarga,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia