Harian Metro

SEMANGATKU TAK RAPUH

- Balqis Jazimah Zahari am@hmetro.com.my

„ Pelajar OKU cemerlang SPM sentiasa berfikiran positif

Kejayaan cemerlang memperoleh 5A dalam peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) tulang rapuh menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Perak di sini.

Ng Mei Yin, 18, yang dikesan menghidap penyakit tulang rapuh (Osteogenes­is Imperfecta) ketika berusia 10 tahun berjaya memperoleh A bagi subjek Perakaunan, Matematik, Sains, Ekonomi dan Pendidikan Moral dalam peperiksaa­n itu.

Mei Yin ketika ditemui pada Majlis Anugerah Cemerlang sekolah berkenaan berkata, dia terkejut dengan keputusan diperolehn­ya kerana terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan sehingga menjejaska­n sedikit tumpuannya.

“Sejak kecil lagi tangan dan kaki saya sukar bergerak, ketika saya mula lumpuh sehinggala­h ke tingkatan satu, ibu yang mendukung saya setiap hari ke sekolah, menunggu seharian dan menghantar makanan pagi dan petang sebelum mendapat kerusi roda.

“Kehidupan sebagai pelajar OKU memang tidak mudah, saya sukar bergerak hendak menuju dari blok ke blok di sekolah, boleh berdiri tapi terpaksa berpaut, namun saya tetap mahu berjaya dalam hidup,” katanya yang tidak lokek memberi senyuman ketika ditemui pada majlis berkenaan, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu yang bercita-cita menjadi akauntan mengakui pernah berputus asa, namun kembali bangkit selepas memperoleh kata-kata semangat ibunya serta sokongan guru di sekolah itu.

“Saya sedar ada yang tidak berapa suka dan senang dengan kehadiran saya, mereka kadang-kadang tidak memahami namun saya juga tidak meminta untuk dijadikan sebegini,” katanya yang bakal melanjutka­n pelajaran dalam jurusan Perakaunan di Quest Internatio­nal University Perak (QIUP) di sini.

Ibunya, Low Choi Sin, 52, berkata, enam kali tulang anaknya itu patah dan sudah menjalani pembedahan tiga kali termasuk membuat rawatan memasukkan besi ke dalam kaki sebelah kanan.

Katanya, dia membawa anaknya membuat rawatan susulan rawatan sebulan sekali ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selain ke ke Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) di Kuala Lumpur.

“Dia sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah sesekali merungut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia