PESTA MAKANAN DI FIM
Program sehari terima lebih 1,000 pengunjung
Seramai 76 penuntut Food Institute of Malaysia (FIM) dari empat fakulti berbeza iaitu Diploma Seni Kulinari, Bakeri dan Pastri, Pelancongan dan Servis Pengurusan Makanan menganjurkan Festival Makanan Fusion 2017 di pekarangan FIM, Kelana Jaya, baru-baru ini.
Program selama sehari dengan kerjasama Telekom Malaysia, iM4U dan Cookies Most Wanted menerima lebih 1,000 pengunjung sekitar Kelana Jaya.
Festival berkonsepkan fusion itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada penuntut mengenai alam pekerjaan sebenar menerusi kursus masing-masing dan cara efektif berkomunikasi dengan pelanggan.
Ketua projek, Mohd
Hilmi Zakwan, 21, berkata, karnival makanan ini adalah projek akhir tahun mereka dan persediaan rapi sudah dirancang bersama pasukannya sejak tiga bulan lalu.
“Sebulan sebelum karnival kami bersama-sama turun padang mengedarkan risalah di kawasan sekitar Kelana Jaya dan menghebahkannya di Facebook.
“Kami sepakat memilih tema fusion bagi projek kali ini untuk memberi kelainan kepada pengunjung dengan menggabungkan makanan tradisional dan Barat.
“Pengunjung berpeluang menikmati makanan dan minuman seperti burger chicken chop, keropok lekor chezzy, ribena asam boi di 11 gerai makanan yang kami buka di bawah empat kanopi.
“Program ini dikira berjaya kerana kami berjaya menjual 800 kupon makanan yang setiap satu kupon bernilai RM5. Tambahan pula, ramai orang menyukai makanan fusion pada masa kini dan festival ini mudah mendapat sambutan daripada pengunjung sekitar FIM,” katanya.
Menariknya semua makanan di Festival Makanan Fusion 2017 ini dimasak dan disediakan sendiri oleh penuntut FIM. Pengunjung bukan saja berpeluang menikmati makanan fusion yang dijual malah boleh melihat cara penyediannya dari awal hingga akhir.
Mohd Hilmi berkata, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk pengunjung yang hadir bagi memeriahkan karnival makanan berkenaan.
“Demi menghidupkan suasana karnival makanan ini kami menyediakan aktiviti seperti samyang challenge, ukiran buah-buahan dan bola jaring. Aktiviti ini bukan saja disertai pengunjung bahkan penuntut
FIM bagi menjalinkan hubungan sosial, sekali gus mengeratkan ukhwah antara satu sama lain.
“Kami berharap pengunjung berpuas hati dengan semua makanan dan minuman yang dijual dan teruskan menyokong usaha kami pada masa hadapan,” katanya.
Program itu dirasmikan Mohd Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Cef Jo.