Harian Metro

Adegan kita tak sanggup hadapi

- Safar@hmetro.com.my

Pada kaca mata orang luar, sejak dahulu lagi rakyat Malaysia sering digambarka­n sebagai masyarakat yang mempamerka­n ketinggian budi bahasa, ramah serta bersopan santun.

Kita mungkin boleh berbangga dengan gambaran ini, tetapi sejauh manakah ia diterjemah­kan dalam realiti hidup hari ini.

Sama ada kita sedari atau tidak, segelintir orang kita masih tebal dengan sifat buruk yang sukar dikikis.

Tidak sukar untuk kita menemui golongan ini, dari tempat duduk kenderaan pun kehadiran mereka ini boleh dikesan di mana-mana.

Saya ingin berkongsi pengalaman sendiri ketika memandu ke tempat kerja semalam.

Rasanya situasi sebegini boleh berlaku kepada siapa saja.

Insiden berlaku di sebuah stesen minyak di pinggir ibu kota.

Seperti biasanya Sabtu adalah hari yang agak sibuk dan banyak kenderaan mengisi minyak kerana ramai yang membawa keluarga ke pusat bandar atau menghabisk­an cuti hujung minggu.

Kenderaan dinaiki sebuah keluarga berhenti untuk mengisi minyak di salah satu pam di stesen itu.

Ada tiga kereta lagi dalam barisan termasuk kereta saya.

Selepas mengisi minyak, si pemandu tadi tidak terus beredar sebaliknya dia dilihat menuju ke tandas.

Pemandu kenderaan di belakang membunyika­n hon meminta si pemandu tadi mengalihka­n kenderaann­ya, tetapi dengan tanpa rasa bersalah dia hanya merenung dengan pandangan tidak berpuas hati ke arah pemandu di belakang dan dengan selamba terus menuju ke tandas.

Lama jugalah saya dan pemandu lain terpaksa menunggu dalam barisan dan saya lihat ramai pemandu lain marah-marah terhadap pemandu yang membiarkan kenderaann­ya di dalam petak mengisi minyak tadi.

Ini sikap yang sangat mementingk­an diri sendiri. Apa salahnya jika dia mengalihka­n kenderaann­ya ke petak parkir yang disediakan pengusaha stesen minyak.

Bayangkan ramai pemandu yang terkandas gara-gara sikap buruk dimiliki segelintir manusia tidak faham bahasa seperti ini.

Selain itu, kita tentu pernah melalui pengalaman berdepan dengan sikap buruk pemandu di plaza tol.

Ketika mahu membayar tol ada pemandu yang mengambil masa lama di plaza tol kerana baru terhegeh-hegeh mengeluark­an wang atau kad ‘Touch n Go’ dari dalam kocek atau beg tangan.

Menurut seorang rakan yang bertugas dengan syarikat konsesi lebuh raya, sikap sebegini antara yang menjadi punca kesesakan di plaza tol.

Penggunaan lebuh raya sepatutnya menjimatka­n masa, tetapi jika ramai yang bersikap buruk sebegini, kemudahan itu nampaknya sia-sia saja.

Pengalaman ketika mencari parkir kenderaan juga adakalanya membuatkan kita menyirap darah.

Contohnya ada pemandu yang berhenti terlalu lama untuk masuk ke petak parkir sehingga menghalang kenderaan di belakang kerana menunggu pemandu yang meletak keretanya mengeluark­an kenderaan sedangkan dia masih dalam perjalanan menuju ke keretanya.

Begitu juga ada pemandu bersikap buruk mengambil masa terlalu lama untuk keluar dari petak parkir walaupun dia menyedari kenderaan yang mahu mengambil tempat parkir berkenaan sudah lama memberi lampu isyarat.

Ada yang mahu mengenakan gincu bibir dan ada yang bermain dengan telefon bimbit tanpa mempedulik­an pengguna lain yang mahu masuk ke parkir berkenaan.

Kalau di pusat beli-belah pula ada yang menjadikan troli mengisi barangan sebagai harta benda sendiri dengan membawa pulang peralatan itu ke rumah bagi mereka yang tinggal berdekatan.

Golongan bersikap buruk ini juga boleh ditemui di mesin juruwang automatik (ATM) yang mana kita menemui individu mengambil masa terlalu lama untuk melakukan urusan yang ringkas saja.

Pernah saya terserempa­k dengan insiden pertikaman lidah apabila seorang lelaki menegur individu yang mengambil masa terlalu lama untuk ‘berfikir’ dan menelefon seseorang ketika berurusan di ATM berkenaan.

“Hello bang...you (kamu) keluar duit berapa juta sampai lama sangat...” kata lelaki yang beratur di belakang sehingga tercetus pertengkar­an di antara mereka.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia