Harian Metro

GADIS RASA TERKONGKON­G

-

Saya gadis berusia 19 tahun dan anak bongsu daripada tujuh beradik. Kakak dan abang saya semua sudah berkahwin serta tinggal bersama keluarga masing-masing.

Hanya saya tinggal bersama orang tua dan boleh dikatakan pergerakan saya terbatas serta tidak bebas seperti rakan lain. Malah orang tua menjaga saya jauh lebih ketat daripada abang serta kakak.

Tidak sekali pun saya dibenarkan keluar bersama rakan melainkan mereka menghantar serta menjemput.

Kadangkala rimas sebab mereka terlalu mengawal dengan siapa saya berkawan mahupun ke mana saya ingin pergi. Seolah-olah saya tiada ruang langsung untuk melakukan perkara disukai.

Saya teringin melakukan aktiviti lasak tetapi orang tua keberatan melepaskan saya menyertai aktiviti sedemikian. Apa perlu saya lakukan Dang Setia?

JIJA Kuala Lumpur

Jangan mengeluh melainkan perasaan syukur disebabkan saudari mempunyai ibu bapa begitu menyayangi saudari. Ibaratnya saudari ditatang seperti minyak yang penuh.

Saudari tidak perlu bimbang mahupun gusar ibu bapa bersikap sedemikian kerana mereka tidak begitu memahami atau mengetahui impian saudari.

Tidak dinafikan sikap mereka mengawal setiap aktiviti saudari sertai keterlalua­n tetapi itu bersebab, kerana saudari penting buat mereka.

Betapa sukarnya meyakinkan mereka mengenai keinginan saudari menyertai aktiviti luar, namun jangan pula meninggi suara atau memberonta­k.

Pujuklah orang tua sebaiknya. Sekeras-keras hati mereka boleh menjadi lembut asalkan kaedah atau pendekatan saudari guna bersesuaia­n.

Minta abang mahupun kakak menasihati orang tua agar memberi peluang saudari membuat keputusan pada usia kini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia