Harian Metro

Kemenangan tonik UiTM buru slot Liga Super

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan besar 4-0 ke atas Terengganu kelmarin memberi keyakinan buat UiTM FC terus memberi cabaran memburu slot ke Liga Super musim depan.

Malah, skuad kendalian Wan Mustafa Wan Ismail itu turut mengintai tempat ke saingan Piala Malaysia apabila kini menduduki tempat keempat liga selepas tidak tewas dalam enam perlawanan terakhir.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana kami sedar bukan mudah berdepan Terengganu yang cukup berpengala­man. Saya hanya mempersiap­kan pasukan dengan tahap kecergasan tinggi untuk menandingi pengalaman pemain Terengganu.

“Saya memuji semangat pemain yang memberikan aksi terbaik dalam perlawanan semalam (kelmarin) kerana ada antara mereka yang masih berada di kelas untuk menghadapi ujian pada waktu pagi sebelum turun bermain sebelah petang.

“Tiga mata ini cukup penting untuk kami meneruskan saingan terutama dalam mencari slot lima pasukan terbaik ke Piala Malaysia,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas 10 perlawanan, UiTM mengumpul 17 mata tetapi kedudukan mereka untuk ke Piala Malaysia masih belum terjamin kerana aksi terakhir pusingan pertama menentang PKNP FC pada 25 April ini, akan menjadi penentu.

“Saya jangkakan bukan perlawanan mudah menentang PKNP, tapi saya percaya dengan keupayaan pemain. Sebelum ini kami dianggap pasukan belasahan tapi sekarang sudah berada dalam kedudukan agak baik.

“Cuma saya berharap dapat menguatkan pasukan kerana kami sekarang banyak bergantung kepada pemain utama. Jika ada kecederaan dan penggantun­gan pemain, pasti akan menyukarka­n kami kerana saingan masih panjang,” kata Wan Mustafa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia