Harian Metro

Penyelia kilang bunuh nenek, rakan dijel 38 tahun

-

Muar: Seorang penyelia kilang berusia 35 tahun dipenjara 38 tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas tuduhan membunuh nenek sendiri dan kenalan wanitanya dengan menjerut leher kedua mangsa, dua tahun lalu.

Pesuruhjay­a Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhka­n hukuman itu kepada V Siva yang mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan membunuh G Letchumy, 82, dan dan S Chitra, 30.

Tertuduh yang berpakaian hitam dilihat tenang menerima keputusan itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh pada 11 Julai 2013 kira kira 9.30 pagi di No 25 Jalan Kinabalu 6/1, Taman Koperasi dan pada 25 Ogos 2015, jam 12.30 tengah hari di No 27 Jalan 8/6 Taman Desa Kluang dengan kesalahan tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh Letchumy dan Chitra.

Mengikut fakta kes, Letchumy yang juga nenek tertuduh ditemui mati dalam keadaan tertonggen­g dalam besen air dan terdapat kesan bengkak di kepala serta luka di tangan serta tekanan di leher manakala barangan kemas milik ahli keluargany­a turut hilang namun berjaya ditemui semula susulan siasatan terhadap tertuduh.

Manakala, dalam fakta kes pembunuhan Chitra, polis menemui tali nylon memiliki asid deoksiribo­nukleik (DNA) Chitra selain menemui semula barangan kemas dan telefon bimbit milik mangsa yang dilaporkan hilang.

Dalam kedua-kedua kes terbabit, kedua-dua mangsa mempunyai persamaan punca kematian iaitu tekanan pada leher akibat jerutan diperoleh hasil laporan bedah siasat.

Muhammad Jamil mengarahka­n penjara selama 18 tahun atas pertuduhan membunuh Letchumy dan sebaik tamat hukuman 20 tahun lagi penjara dikenakan terhadap tertuduh kerana membunuh Chitra.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia