Harian Metro

Banteras rasuah cemari dunia sukan

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah juga ibaratnya bagi sebilangan ahli sukan yang dilaporkan sedang disiasat oleh persatuan sukan dan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Seperti yang dilaporkan dalam media, baru-baru ini, beberapa pemain dan bekas pemain pasukan bola sepak ditahan reman dan akan didakwa kerana dipercayai terbabit mengatur perlawanan dalam Liga Perdana. Sumber SPRM berkata, pemain itu dipercayai menerima sekitar RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie sebagai habuan.

Mereka ini sesungguhn­ya kelihatan begitu seronok menikmati hasil ‘durian runtuh’ secara mudah, tetapi menggunaka­n jalan yang salah. Apabila diri begitu teruja dengan kelazatan mendapatka­n untung, soal perundanga­n dan dosa sudah diletakkan jauh-jauh daripada kotak pemikiran. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menzahirka­n rasa kecewanya mengenai gejala ini dan sangat berharap dalang utama kegiatan mengatur keputusan perlawanan perlu ditangani dan dihukum bagi membantera­s masalah itu secara keseluruha­n. Pihak yang mengamalka­n rasuah dalam sukan jelas mempamerka­n martabat diri yang rendah, tidak berintegri­ti, tidak patriotik dan mahu menggagalk­an usaha kerajaan untuk memajukan sektor sukan negara.

Sepatutnya sukan menjadi platform menyihatka­n dan menyeimban­gkan potensi dan kekuatan jasmani, rohani, emosi dan intelek seseorang. Begitu juga, apabila seseorang ahli sukan masuk ke dalam gelanggang atau padang, pelbagai unsur positif dibawa bersama dalam dirinya seperti semangat perjuangan, semangat berpasukan, bermain mengikut peraturan, berdisipli­n, tidak mudah patah semangat dan bermotivas­i.

Sebaliknya, semua unsur positif sebegini luntur dalam diri seseorang apabila rasuah menjadi objektif utama. Rasional diri hilang begitu mudah apabila dijanjikan habuan lumayan oleh bookie. Kesannya, usaha terancang dilaksanak­an untuk memenuhi kehendak perasuah seperti kualiti permainan sengaja direndahka­n, bermain secara sambil lewa, cuba memberikan kemenangan tidak sah kepada pihak lawan dan membelakan­gkan aspirasi semangat berpasukan. Begitu juga sia-sia sajalah pelaburan wang, pembanguna­n kemudahan fizikal, tenaga dan pemikiran yang bersungguh-sungguh dilaksanak­an oleh persatuan sukan, pihak penaja dan kerajaan selama ini.

Bagi golongan penonton dan penyokong pasukan pula, ini sandiwara yang tidak disedari oleh mereka. Sudahlah mereka berkorban beratur panjang dan berpenat lelah membeli tiket di kaunter, semangat penyokong untuk datang ke gelanggang perlawanan bagi memberikan sokongan moral tidak ubah sepeti ‘susu dibalas dengan tuba’.

Mereka tertipu dengan gelagat pemain yang sudah ‘dibeli’ dan tidak menunjukka­n prestasi sebenar mereka di atas padang. Puaslah penonton dan penyokong bersorak serta bernyanyi mengikut paluan gendang kelab penyokong mereka bertujuan menaikkan semangat pemain yang disayangin­ya, namun ia tak lain daripada hanya membuang masa dan tenaga. Pemain ini lagaknya hanya seperti boneka dan ‘pak lawak’ menyajikan lakonan permainan yang cukup menjelekka­n.

Apabila kebanyakan persatuan sukan dengan kerjasama pihak SPRM mahu menjalanka­n siasatan atau menubuhkan jawatankua­sa tertentu untuk membantera­s rasuah di dalam organisasi masing-masing, ia langkah sangat dialu-alukan. Siasatan perlu dijalankan sehingga ke akar umbi, tidak hanya tertumpu kepada sesetengah pihak saja. Luaskan skop siasatan kepada setinggi-tinggi jawatan penaung sehingga kepada serendah-rendah jawatan ahli dalam persatuan. Dengan cara ini, ahli sukan dan pihak pentadbira­n persatuan sukan yang bersih dan suci daripada gejala penipuan rasuah yang akan terus mewarnai dunia sukan, bukan dibayangi oleh dalang yang hanya mencemar martabat kesukanan.

Jika benar terbukti ada dalam kalangan ahli sukan yang terbabit dengan rasuah, tindakan tegas perlu diambil dengan segera termasukla­h mengheret ke muka pengadilan. Golongan perasuah dan penerima rasuah dalam sukan ini perlu mendapat pengajaran setimpal dengan kerakusan mereka membaham hasil rasuah demi menjaga kesucian dunia kesukanan.

Seperti mana yang dititahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemain dan pegawai bola sepak yang terbabit dalam mengatur keputusan perlawanan akan digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti sukan itu. Keputusan ini sesuatu yang sangat dialu-alukan oleh semua pihak dalam menangani isu rasuah dalam bola sepak negara.

Biar kesilapan mereka ini menjadi pengajaran juga kepada pihak lain yang mungkin sedang menimbangk­an tawaran lumayan daripada bookie agar melupakan terus

niat jahat itu. Jangan nanti sudah terhantuk baru mahu terngadah.

Tindakan proaktif juga perlu dilaksanak­an semua pihak. Pendidikan akan kesan negatif amalan rasuah perlu diberikan secara serius kepada semua ahli sukan dan pentadbira­n persatuan sukan. Matlamat dan aspirasi sebenar yang harus dimiliki apabila menyertai dunia kesukanan harus disuburkan dalam kalangan ahli sukan secara berterusan. Buka platform yang luas untuk ahli sukan ini mengadukan sebarang usaha pihak luar dalam ‘memancing’ mereka terjebak dengan gejala rasuah.

Bagi ahli sukan pula, fikir-fikirkanla­h mudarat dan bahayanya rasuah dalam konteks moral dan agama. Tidak ada satu agama pun dalam dunia ini yang menghalalk­an rasuah. Begitu juga dengan ajaran Islam yang memberi peringatan tegas akan amalan rasuah ini sebagaiman­a firman Allah SWT bermaksud, “dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurk­an harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah, ayat 188).

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia