NCIA SENARAI PROJEK BESAR
Pembangunan dijangka sumbang KDNK bernilai RM300b
Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA), menyenaraikan tujuh projek berprestasi tinggi yang mampu memberi kesan positif di empat negeri di bawah naungannya terutama membabitkan limpahan ekonomi kepada rakyat setempat.
Tujuh projek berkenaan ialah Perlis Inland Port (PIP), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Chupping Valley Industrial Area (CVIA), Kedah Rubber City (KRC), Batu Kawan Development, Greater Kamunting Conurbation (GKC) dan Manjung-Aman Jaya Maritime City.
Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq berkata, semua projek berkenaan dibangunkan dalam tempoh yang panjang dan berada di dalam Rangka Kerja Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2016-2017 atau dikenali sebagai Rangka Kerja 2.0.
Beliau berkata, semua projek berkenaan dijangka menjadi elemen penting untuk merekodkan keseluruhan RM300 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), keempat-empat negeri di utara menjelang 2025.
“Semua projek berprestasi tinggi ini bukan saja mampu merekodkan pertumbuhan KDNK yang tinggi, malah ia turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dengan kami menyasarkan 161,167 jumlah pekerjaan dapat dicipta menjelang 2025.
“Selain itu, ia juga menjadi pendorong kepada peningkatan pendapatan purata isi rumah dengan catatan RM6,043 untuk golongan B40 dan RM12,964 bagi pendapatan isi rumah biasa pada tahun berkenaan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.
Dalam temu bual berkenaan, NCIA turut mendedahkan prestasi umum keempat-empat negeri berkenaaan pada 2015 merangkumi KDNK terkumpul sebanyak RM169 bilion, peluang pekerjaan 91,221, pendapatan purata isi rumah RM4,815 dan RM1,926 bagi pendapatan purata isi rumah golongan B40.
Dari segi pencapaian sektor NCER pada 2015, perkhidmatan menyumbang secara dominan sebanyak 56 peratus kepada KDNK wilayah berkenaan, diikuti 32 peratus pembuatan dan 11 peratus pertanian.
Redza berkata, pelancongan yang menjadi subsektor dalam sektor perkhidmatan memainkan peranan penting, memandangkan ia berupaya mendominasi pencapaian sektor berkenaan.
Katanya, sektor pelancongan bukan saja mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, malah menjadi ejen penting menarik suntikan pelaburan di NCER.
“Jika dulu di Taiping misalnya hanya terkenal dalam kalangan penduduk setempat terutama golongan yang ingin bersara, tetapi ketika ini dapat dilihat banyak hotel baru dibuka. Ia menunjukkan terdapat permintaan daripada pelancong di kawasan yang dulunya bukan antara lokasi percutian terkenal.
“Wilayah utara mula mendapat perhatian pelancong dari China, khasnya untuk bercuti di pulau atau menikmati pelancongan eko yang dibangunkan oleh pihak pelabur swasta di beberapa kawasan berpotensi seperti Royal Belum, Perak,” katanya.