Harian Metro

PEMBANTU WARDEN SUJUD SYUKUR

- Izlaily Nurul Ain Hussein izlaily@hmetro.com.my

„ Pembantu warden Madrasah Tahfiz Al Jauhar dibebaskan daripada tahanan reman

Pembantu warden yang ditahan bagi membantu siasatan kematian bekas murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, tersenyum dan sempat menadah tangan tanda bersyukur selepas dia dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM20,000 di sini, semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu juga dilihat melakukan sujud syukur selepas dibawa keluar dari Bilik Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen di sini, sejurus dibebaskan dengan jaminan bon itu berserta seorang penjamin.

Perintah itu dikeluarka­n Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Salawati Djambari selepas membenarka­n permohonan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Tinggi, Asisten Superinten­dan Mohd Fairos Ithnin mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanap­un, siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada jam 12.15 tengah hari sebelum dibawa masuk ke bilik pendaftar pada jam 12.45 tengah hari.

Suspek yang dijamin oleh abang kandungnya kemudian dibawa keluar dari bilik pendaftar kira-kira jam 1 petang tanpa bergari.

Lelaki itu pada mulanya ditahan reman empat hari pada 23 April lalu sebelum disambung tiga hari sehingga 29 April bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010.

Bagaimanap­un, selepas siasatan berhubung kes itu diklasifik­asikan semula sebagai kes bunuh susulan kematian mangsa pada 26 April lalu, tempoh reman terhadap suspek dilanjutka­n tujuh hari bermula 27 April hingga hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat di sini, jam 4 petang, 22 April lalu selepas ibu Mohamad Thaqif Amin membuat laporan polis yang mendakwa anak ketiga daripada lima beradik itu dikatakan dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabka­n kecederaan.

Kedua-dua belah kaki mangsa dipotong pada 21 April, dipercayai akibat jangkitan kuman manakala tangan kanannya yang turut dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamat­kan nyawanya pada pagi 26 April.

Bagaimanap­un, pembedahan itu terpaksa ditangguhk­an kerana keadaan jantung mangsa tidak stabil sebelum kanak-kanak berusia 11 tahun itu meninggal dunia jam 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

 ??  ??
 ??  ?? PEMBANTU warden bersujud syukur selepas dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah.
PEMBANTU warden bersujud syukur selepas dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia